KUALA LUMPUR - Malaysia tidak menyokong sebarang sekatan unilateral dan percaya bahawa negara-negara harus dibenarkan untuk meneruskan rejim perdagangan bebas dalam usaha memperkukuh ekonomi masing-masing bagi mencapai pertumbuhan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kami percaya pada perdagangan bebas dan tiada sekatan. Saya telah memberi jaminan kepada Presiden (Vladimir) Putin malam tadi bahawa apa sahaja pendekatan yang diperkenalkan, kami akan teruskan," katanya.
Anwar mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin semalam yang kemudiannya disusuli majlis makan malam dihoskan Putin.
"Maksud saya, kami masih mempunyai hubungan baik dengan Iran dan di kebanyakan negara ini (yang dikenakan sekatan), dan jika kriterianya betul dalam menggalakkan perdagangan bebas, kita akan teruskannya. Tidak ada isu langsung,” katanya semasa sesi soal jawab pada Forum Ekonomi Timur (EEF) ke-9, di Vladivostok, Rusia, hari ini.
Terdahulu, beliau menyampaikan ucap tama bertajuk: Exploring New Frontiers: The Future of Malaysia-Russia relations (Meneroka Sempadan Baharu: Masa Depan hubungan Malaysia-Rusia) pada forum tersebut.
Setakat September 2024, Rusia dikenakan lebih 16,500 sekatan antarabangsa, terutamanya dari negara Barat, termasuk Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah dan negara sekutu lain.
Ini termasuk sekatan ke atas minyak dan gas asli, akses kepada teknologi ketenteraan, import emas dan berlian, import minyak mentah menerusi pengangkutan laut, serta penerbangan dari Rusia.
Begitu juga, Iran telah dikenakan pelbagai sekatan dari negara seperti AS, Perancis, Jerman, dan United Kingdom, terutamanya menyasarkan program nuklearnya, minyak dan gas serta pemindahan teknologi.
Syarikat Rusia berminat melabur di Malaysia
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata terdapat"peningkatan minat" antara syarikat dan perniagaan dari Malaysia dan Rusia untuk menjalin kerjasama seperti yang dinyatakan mereka semasa pertemuan dengan beberapa syarikat utama Rusia semalam dan awal hari ini.
"Saya memberitahu mereka (bahawa) kita adalah sebuah negara merdeka. Dan kita mahu terlibat dengan lebih berkesan lagi dengan Rusia.
"Kami mempelawa delegasi yang mewakili bank, industri aeroangkasa dan beberapa yang lain untuk datang (ke Malaysia)," kata beliau sambil memberi jaminan bahawa akan berlaku lebih banyak perubahan positif dari segi perdagangan antara Malaysia dan Rusia.
Anwar berkongsi bahawa kebanyakan syarikat itu berhasrat untuk datang tidak lama lagi malahan ada yang akan datang seawal bulan depan.
"Apabila saya tanyakan kepada mereka ‘bila anda akan datang?’, mereka berkata kami merancang (tidak lama lagi). Ada yang berkata, kami akan pergi minggu depan, dan satu kumpulan akan datang pada Oktober,” katanya.
Anwar berkata, Malaysia juga menerima pelaburan yang besar dari AS terutamanya dalam sektor digital dan tenaga serta minat dari Jerman.
Bulan lepas, Amazon Web Services (AWS) yang berpangkalan di AS, anak syarikat Amazon.com Inc, melancarkan AWS Asia Pasifik (Malaysia) Region dengan rancangan untuk melabur kira-kira US$6.2 bilion (kira-kira RM29.2 bilion) di Malaysia sehingga 2038.
Anwar ketika ini berada di Vladivostok bagi lawatan kerja selama dua hari ke Rusia yang berakhir hari ini.
Tahun lepas, Rusia adalah rakan dagangan kelapan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah.
Jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Rusia meningkat sebanyak 15.6 peratus kepada RM14.22 bilion (AS$3.1 bilion) pada 2023 berbanding RM12.3 bilion (AS$2.79 bilion) yang dicatatkan pada 2022. - Bernama