'Tiada lesen niaga, naik harga barang subsidi sesuka hati'

Iklan
KPDN menjalankan pemeriksaan di salah sebuah kedai runcit menerusi Op Viral di Segambut Dalam, Kuala Lumpur pada Khamis.

KUALA LUMPUR - Kedai runcit di Kampung Segambut Dalam, di sini, dikesan menjual barang bersubsidi melebihi harga ditetapkan selain beroperasi dengan lesen perniagaan tamat tempoh.

Bukan itu sahaja, ada antara premis itu dipercayai diuruskan warga asing.

Iklan
Iklan

Itu antara yang dikenal pasti menerusi Op Viral yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur dengan kerjasama KPDN Putrajaya dan Selangor, pada Khamis.

Sinar Harian yang turut menyertai operasi kira-kira jam 3 petang itu mendapati segelintir peniaga mendakwa tidak mengetahui penjualan barang kawalan seperti gula, minyak masak dan tong gas petroleum cecair (LPG) memerlukan lesen.

Iklan

"Saya tidak tahu cik. Untung cuma sedikit," katanya salah seorang peniaga selepas tindakan siasatan terhadapnya dilakukan di sini.

Berikutan itu, pegawai KPDN telah menyita beberapa peket gula, tepung gandum dan minyak masak di premis runcit itu.

Iklan
KPDN menyita tong gas LPG menerusi operasi di kedai runcit di sekitar Segambut Dalam, Kuala Lumpur pada Khamis.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDN Kuala Lumpur, Nurul Syarina Md Anuar berkata, sebanyak 19 kedai runcit telah diperiksa hasil daripada aduan orang awam.

"Hasil pemeriksaan, sebanyak 11 kompuan telah diambil atas pelbagai kesalahan seperti tiada tanda harga, alat timbang yang tidak ditentusahkan dan menjual barang kawalan melebihi harga ditetapkan.

"Jumlah sitaan bagi kesemua kedai runcit ini dianggarkan bernilai RM3,300," katanya pada Khamis.

Tambah beliau, tindakan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta723) serta Akta Kawalan Bekalan 1961.

Tegasnya, semakan mendapati pemilik premis adalah warga tempatan berdasarkan lesen pihak berkuasa tempatan (PBT), namun pelanggan kebanyakan terdiri daripada warga asing yang tinggal di sekitar kawasan berkenaan.

"Bagaimanapun ada juga lesen premis yang telah tamat tempoh dan diuruskan oleh warga asing.

"KPDN memberi amaran kepada peniaga agar tidak menjual barang kawalan melebihi harga yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya.