AMPANG - Hubungan dua hala antara Malaysia dan Uzbekistan bakal diperkukuhkan lagi menerusi kerjasama dalam sektor pelancongan.
Presiden Perikatan Perniagaan Malaysia-Uzbekistan (MUBA), Datuk Seri King Lim Chin Fui berkata, peluang ini dimanfaat dengan memperkenalkan Uzbekistan sebagai Mutiara Timur kepada rakyat Malaysia.
Menurutnya, ia merupakan sokongan bersama Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) dalam mempromosikan negara berkenaan sebagai destinasi pelancongan utama dan umrah dalam masa terdekat.
"Bukan sahaja untuk pelancongan tetapi juga perjalanan rohani dan warisan Islam yang kaya di Uzbekistan menjadikannya lokasi sempurna bagi jemaah umrah dan haji untuk meneroka khazanah itu.
"Dengan kepakaran dan matlamat bersama, saya yakin kita dapat mencipta pengalaman tidak dapat dilupakan bagi rakyat Malaysia yang melancong di sana," katanya ketika ucapan aluan di Majlis Pelancaran 'Travel Together to Uzbekistan' pada Khamis.
Hadir sama Presiden PAPUH, Datuk Seri Razali Mohd Sham; Duta Uzbekistan ke Malaysia, Dr Karomidin Gadoev; Ketua Pegawai Eksekutif Nautica Travel & Tours, Bobirjin Mirzahmedov dan tetamu jemputan yang lain.
Dalam pada itu, Chin Fui memaklumkan, inisiatif berkenaan membabitkan dua agensi pelancongan iaitu Travel Together (Uzbekistan) dan Nautica Travel & Tours Sdn Bhd (Malaysia).
Ujarnya, kerjasama tersebut adalah untuk meningkatkan aliran pelancong sambil memperkenalkan Malaysia kepada pasaran Asia Tengah.
"Dengan warisan sejarah yang kaya, kepelbagaian budaya, keindahan alam semula jadi yang unik dan keramahan rakyat, Uzbekistan menawarkan pengalaman pelancongan yang luar biasa.
"Rakyat Malaysia juga boleh melawat negara itu tanpa visa untuk tempoh 30 hari bagi memberi peluang kepada kita meneroka keajaiban seni bina, kepelbagaian rizab semula jadi dan perkembangan dinamik yang menarik perhatian dunia," jelasnya.
Sementara itu, Duta Uzbekistan ke Malaysia, Dr Karomidin Gadoev berkata, pelancongan dianggap sebagai salah satu tonggak kerjasama antara Uzbekistan dan Malaysia.
Menurut beliau, pada 19 Mei lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ke Uzbekistan dan antara topik yang dibincangkan adalah kerjasama pelancongan.
"Untuk makluman, kerjasama kami dalam bidang ini telah berkembang dengan baik pada 2024 iaitu hampir 4,000 pelancong ke Uzbekistan.
"Selain itu, Uzbekistan menduduki tempat pertama dalam carta negara paling selamat di dunia iaitu 'Safety Perceptions Index 2023' yang merangkumi 121 negara.
"Keselamatan negara adalah faktor yang sangat penting untuk menarik lebih ramai pelancong asing ke sini," ujarnya.