SHAH ALAM -"Cinta pertama anak perempuan ialah kepada ayahnya.”
Itulah komen yang disampaikan pengguna media sosial terhadap video tular seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang terpaksa ditahan wad kerana jangkitan kuman.
Menurut suri rumah, Siti Nadirah Che Hamid, 32, berkata, anak keduanya, Nur Aisyah Zinnirah Mohamad Hasraf berasa sedih apabila sudah dua hari bapanya tidak datang melawat di hospital.
"Pada mulanya, jururawat mengambil darah di bahagian pergelangan tangannya. Jadi, mungkin sakit. Sesudah dicucuk, kebetulan ayahnya sampai di wad.
"Bila nampak kelibat, terus dia ‘mengadu’ sakit pada ayahnya. Nur Aisyah memang manja dan rapat dengan ayahnya,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Mengulas lanjut, Siti Nadirah memaklumkan, suami yang bekerja sebagai pemandu lori, Mohamad Hasraf Harun, 34, tidak dapat melawat anaknya pada hari pertama dimasukkan ke dalam wad kerana perlu menyelesaikan urusan pekerjaan.
Tambahnya, sepanjang berada di wad, Nur Aisyah seolah-oleh memendam rasa menyebabkan dia terus mengadu kepada bapanya.
"Dia mengadu sakit sambil tunjuk tangan yang berbalut dan Mohamad Hasraf terus minta ‘hanger’ seperti mahu merotan jururawat,” ujarnya.
Siti Nadirah memberitahu bahawa anak-anaknya memang lebih mesra dan rapat dengan bapa walaupun Mohamad Hasraf jarang berada di rumah kerana kerja.
Video berdurasi satu minit itu mendapat perhatian warga maya dengan tontonan sebanyak lebih empat juta dan 311,200 tanda suka.