SHAH ALAM - Seramai 2,063 penghuni penjara berjaya mendapatkan tawaran pekerjaan sejak 2020 setakat 16 Ogos lalu menerusi portal pekerjaan, MYFutureJobs.
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam satu kenyataan berkata, kejayaan itu dicapai ketika penghuni penjara masih menjalani baki hukuman dengan menduduki sesi temu duga sebelum dibebaskan dan kemudiannya memulakan lembaran hidup baharu sebaik melaporkan diri di tempat kerja.
Menurut kenyataan tersebut, penawaran kerja kepada penghuni penjara merupakan sinergi bersama Jabatan Penjara Malaysia dengan pelaksanaan sesi temu duga membabitkan lebih 250 majikan.
”Antara inisiatif yang dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui PERKESO adalah untuk menggalakkan majikan mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing melalui insentif Daya Kerjaya 2.0 di bawah Belanjawan 2024.
”Kerajaan memperuntukkan RM30 juta dan bantuan kewangan kepada majikan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang layak menerima insentif RM1,500 per individu.
”Ia bagi tempoh enam bulan sekiranya menggajikan orang kurang upaya (OKU), bekas banduan dan warga emas. Sehingga 9 Ogos lalu, 223 majikan diluluskan permohonan membabitkan 940 prospek penjara menerusi program ini,” katanya pada Jumaat.
PERKESO memaklumkan, pihaknya turut menghulurkan bantuan dari segi penempatan pekerjaan bagi memastikan sasaran Jabatan Penjara Malaysia untuk dua per tiga banduan pemulihan dalam komuniti dapat dicapai menjelang 2030.
Justeru tambah kenyataan itu, penganjuran karnival 'Kerjaya dan Keusahawanan MYFutureJobs: Tiada Yang Terpinggir' menerusi PERKESO serta Jabatan Penjara Malaysia pada 4 dan 5 September lalu antara lain bertujuan menggalakkan majikan menggajikan bakat tempatan berbanding pekerja asing.
Jelasnya lagi, ia termasuk memberikan peluang kepada bekas banduan yang layak menjalani program pemulihan dalam komuniti.
”Karnival ini dilaksanakan di Pusat Rawatan Pemulihan Dadah Kajang secara tertutup dengan 700 peluang pekerjaan daripada 22 majikan kepada hampir 400 penghuni penjara, malah tawaran gaji bermula RM1,500 hingga RM2,000.
”Program keusahawanan turut diselitkan dengan kolaborasi dua agensi berkaitan buat penghuni penjara yang berminat untuk menceburi bidang perniagaan atau bekerja sendiri menerusi sokongan dalam bentuk geran padanan, program latihan serta khidmat nasihat.
"Pendidikan kewangan juga disediakan bagi membantu prospek penjara membina kehidupan yang stabil setelah dibebaskan,” katanya.