Australia keluar amaran eksploitasi kanak-kanak dalam talian meningkat

Iklan
Pihak berkuasa Australia mengeluarkan amaran berhubung peningkatan kes kanak-kanak terjerumus dalam menghasilkan kandungan seksual dan ganas secara dalam talian. Gambar Hiasan (123rf)

CANBERRA - Pihak berkuasa Australia mengeluarkan amaran berhubung peningkatan kes kanak-kanak terjerumus dalam menghasilkan kandungan seksual dan ganas secara dalam talian.

Polis Persekutuan Australia pada Jumaat memberi peringatan kepada ibu bapa dan penjaga mengenai trend yang semakin meningkat di Australia, melibatkan golongan muda dipaksa untuk menghasilkan kandungan melampau, lapor Xinhua.

Iklan
Iklan

Menurut Polis Persekutuan, jenis jenayah siber yang dikenali sebagai 'sadistic sextortion' kini semakin berkembang dan komuniti dalam talian menyasarkan kanak-kanak seawal usia 12 tahun dan memaksa mereka untuk menghasilkan imej atau video yang tidak sesuai sebagai syarat untuk diterima dalam komuniti itu.

Polis turut memaklumkan bahawa dalam beberapa kes, pelaku adalah sebaya dengan mangsa.

Iklan

Komander Eksploitasi Manusia Polis Persekutuan Australia, Helen Schneider berkata bahawa berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Australian Centre to Counter Child Exploitation (ACCCE), kebanyakan pelaku dalam kumpulan ekstrem ini bermotivasi untuk mendapatkan status atau pengaruh dalam kumpulan berkenaan, bukan bertujuan mengaut keuntungan.

"Pelaku ini tidak didorong oleh keuntungan. Mereka mengeksploitasi mangsa untuk menghasilkan kandungan yang menjijikkan demi kepuasan peribadi.

Iklan

"Malangnya, sesetengah mangsa dalam kumpulan ini tidak menganggap diri mereka sebagai mangsa. Mereka tidak menyedari bahawa mereka dipaksa melakukan tindakan yang tidak sesuai, dan tidak melaporkannya kepada pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Polis mengeluarkan amaran ini bersempena Minggu Perlindungan Kanak-Kanak Kebangsaan (NCPW), yang bertujuan untuk mendidik rakyat Australia mengenai isu penderaan dan pengabaian kanak-kanak. - Bernama-Xinhua