VLADIVOSTOK, Rusia - Malaysia tidak menyokong sebarang usaha memperkukuh kuasa pertahanan untuk menyerang negara lain, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu wawancara bersama RIA Novosti dan RT, lapor Sputnik.
"Tetapi jika ditanya mengenai pendirian kami, ia adalah untuk keamanan. Oleh itu kami tidak menyokong sebarang usaha meningkatkan pertahanan atau persenjataan untuk menyerang mana-mana negara,” kata Anwar di luar sidang Forum Ekonomi Timur (EEF).
Iklan
Iklan
Dalam temu bual yang sama, Anwar turut menyuarakan keterujaannya tentang lawatannya ke Rusia, dan beliau berhasrat untuk melawat St Petersburg dan Moscow.
"Saya teruja. Saya akan menyebut dalam kuliah saya hari ini bahawa saya mengenali Rusia lebih melalui novel-novel (Boris) Pasternak, puisi Anna Akhmatova dan (Lev) Tolstoy.
"Saya sangat menantikan lawatan ke Moscow, khususnya St Petersburg, yang saya rasa antara bandar paling menakjubkan di dunia,” kata Anwar.
Forum Ekonomi Timur bermula pada Selasa hingga 6 September dan Sputnik ialah rakan media rasmi forum itu. - Bernama-Sputnik