SC dedah penipuan guna dokumen pelaburan palsu

Iklan
Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Sekuriti (SC) pada Jumaat memberi amaran kepada orang ramai mengenai taktik penipuan pelaburan baharu yang menggunakan Memorandum Maklumat (IM) palsu untuk mendapatkan pelaburan daripada orang ramai.

Menurut SC dalam kenyataan pada Jumaat, taktik ini mendakwa secara palsu bahawa IM tersebut telah diserah atau disahkan oleh SC.

Iklan
Iklan

Katanya, di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA), syarikat awam tidak tersenarai yang mengeluarkan IM untuk mengumpul dana dikehendaki menyerahkannya kepada SC dalam tempoh tujuh hari selepas terbitan kepada bakal pelabur.

Bagaimanapun, katanya penyerahan IM tidak dianggap sebagai pengesahan oleh SC.

Iklan

"SC ingin mengesahkan bahawa syarikat itu tidak menyerahkan sebarang IM kepada SC dan mengesyaki bahawa ia adalah sebahagian daripada penipuan pelaburan,” katanya.

Tindakan segera telah diambil terhadap syarikat tersebut termasuk memfailkan laporan polis dan memasukkan syarikat itu dalam Senarai Makluman Pelabur SC di https://www.sc.com.my/investor-alert-list.

Iklan

Menurut SC, pihaknya memandang serius perkara ini kerana tindakan sedemikian boleh menyebabkan orang ramai percaya bahawa SC menyokong dan meluluskan produk pelaburan berkaitan.

"Pihak awam amat digalakkan untuk mengesahkan sebarang tawaran menggunakan nama SC atau mana-mana pegawainya dan melaporkan perkara ini serta sebarang aktiviti atau maklumat pelaburan yang mencurigakan kepada SC.

"Ini akan membantu melindungi pelabur daripada potensi risiko dan membantu mereka dalam membuat keputusan pelaburan termaklum,” katanya. - Bernama