Selut tebal sukarkan nelayan Sungai Batu cari makan

Iklan
Keadaan selut di pesisiran Sungai Batu, Teluk Kumbar yang sangat tebal sehingga menyukarkan pergerakan bot nelayan. Gambar kecil dari kiri: Zakaria (kiri), Sulaiman

BAYAN LEPAS - Lebih 100 nelayan di Unit Sungai Batu, Teluk Kumbar terpaksa menempuh pelbagai kesukaran apabila kawasan pesisiran laut Sungai Batu dipenuhi selut sedalam lebih satu meter.

Situasi itu berlaku didakwa disebabkan projek penambakan Pulau Silikon seluas 930.8 hektar yang sedang dijalankan ketika ini.

Iklan
Iklan

Ketua Unit Nelayan Sungai Batu, Zakaria Ismail berkata, selut yang amat tebal itu menyebabkan pendapatan nelayan terjejas sehingga 60 peratus.

Menurutnya, masalah tersebut berlaku sejak projek mega itu dijalankan namun paling meruncing adalah pada Ogos lalu.

Iklan

"Sebelum bermulanya projek ini pada September tahun lalu, memang ada selut di sini, namun ia menjadi semakin teruk selepas kerja di tapak bermula.

"Apabila selut semakin dalam, ia menyukarkan nelayan untuk membawa keluar bot mereka bagi menangkap ikan. Lebih teruk, pernah berlaku insiden nelayan hampir mati kerana tersekat di dalam selut," katanya pada sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Iklan
Salah seorang nelayan menunjukkan selut yang tebal di pesisiran Sungai Batu.

Sebelum ini, tujuh nelayan bersama badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar telah memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang terhadap Projek Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI).

Kesemua nelayan tersebut diwakili Zakaria yang mana semakan kehakiman itu dibuat pada 29 Disember 2023 untuk mencabar kebenaran merancang yang diberi oleh Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang (PLANMalaysia) pada 21 Ogos 2023 untuk projek mega berkenaan.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata, pihaknya telah menulis surat sebanyak dua kali kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) meminta satu siasatan segera dijalankan bagi mengenalpasti punca sebenar masalah selut itu.

"Kami mendesak untuk satu siasatan dijalankan kerana sebelum ini, tiada fenomena luar biasa berlaku di sini. Bagaimanapun selepas projek tersebut bermula, pelbagai kejadian berlaku di sini.

"Selain JAS, kami juga memohon agar pihak berkaitan antaranya Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Jabatan Perikanan dan Exco Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan, Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol juga mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

Tambahnya, hasil tangkapan bagi tahun ini sehingga September menurun secara mendadak apabila hanya memperolehi 700 tan sahaja berbanding 1.2 juta tan pada Oktober tahun lalu.

"Ini semua disebabkan oleh keadaan selut yang tebal, belum diambil kira faktor cuaca lagi," katanya.

Sementara itu, nelayan, Sulaiman Budin, 54, berkata, disebabkan keadaan selut di pesisiran laut itu, jangka masa untuk nelayan turun ke laut menjadi pendek.

Dia yang sudah menjadi nelayan sejak 15 tahun lalu berkata, ia menyebabkan jumlah tangkapan menurun kerana tidak cukup masa.

"Jika nak keluar ke laut, sama ada keluar sangat awal atau sangat lambat. Selalunya nelayan akan keluar pada jam 11 pagi dan sebelum jam 3 petang, dah kena sampai ke pesisiran.

"Jika tidak, bot memang tak boleh masuk ke pesisiran kerana air surut dan selut tebal. Pernah berlaku, nelayan terpaksa tunggu sehingga awal pagi kerana terlewat pulang ke pesisiran," katanya.

Dia menambah, sebelum ini, nelayan mempunyai sehingga lapan jam untuk menangkap ikan.

"Nelayan hanya ada masa empat hingga enam jam sahaja untuk menangkap ikan.

"Disebabkan itu, hasil yang dapat pun, tak banyak. Ini menjejaskan pendapatan nelayan di Unit Sungai Batu. Dulu sehari boleh menjana sehingga RM500, sekarang RM150," katanya.

Jelasnya lagi, sebelum ini, nelayan di unit berkenaan mampu meraih 6 hingga 7 kilogram (kg) hasil laut termasuk udang namun menurun sehingga 2kg sehari sahaja.

Sebelum ini, Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) bagi projek Pulau Silikon telah memperoleh kelulusan rasmi daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang pada 21 Julai tahun lalu.

Kelulusan itu adalah susulan daripada kelulusan Laporan Kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi Projek PSI yang telah diberi kelulusan dengan 71 syarat oleh JAS Pusat melalui surat bertarikh 11 April 2023.

JAS Pusat sebelum itu telah meluluskan Laporan EIA bagi Projek PSI dengan berasaskan 71 syarat ditetapkan termasuk keperluan meneruskan pelaksanaan Skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) dan Pelan Induk Pengimbangan Ekologi (PEOM) projek berkenaan.

Mei tahun lalu, Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan pembatalan bagi Pulau B dalam PSI seperti mana yang diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Selain Pulau B, keluasan Pulau A yang dinamakan sebagai Pulau Silikon turut dikecilkan iaitu daripada 1,821 hektar kepada 930.8 hektar.