Hargai rezeki kenaikan gaji

Iklan
KENAIKAN gaji boleh diterjemahkan dengan rasa syukur dan terima kasih yang turut menatijahkan prestasi semakin baik. Foto CANVA/Gambar kecil: DR HASHIM (kiri) dan ALIFAH.

Zahirkan syukur selain tingkatkan sumbangan kepada masyarakat dan simpanan untuk masa depan

KERAJAAN baru-baru ini mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam yang akan dilaksanakan dalam dua peringkat iaitu pada Disember 2024 dan Januari 2026.

Pengumuman itu telah mencetuskan pelbagai reaksi daripada masyarakat. Ada yang menyambut baik langkah tersebut sebagai usaha untuk meningkatkan taraf hidup penjawat awam, sementara ada yang memberi reaksi agak kurang baik dengan pelbagai tomahan.

Iklan
Iklan

Apa pun pandangan yang diutarakan, penting untuk kita memahami rasional di sebalik pelarasan gaji itu dan kesannya terhadap ekonomi serta masyarakat secara keseluruhan.

Gaji penjawat awam di Malaysia secara umumnya lebih rendah berbanding dengan sektor swasta terutamanya dalam bidang yang memerlukan kemahiran tinggi dan bidang kritikal.

Iklan

Hal itu telah menjadi isu dibincangkan bertahun-tahun terutama dengan kenaikan kos sara hidup yang semakin membebankan.

Dalam konteks ini, pelarasan gaji yang diumumkan oleh kerajaan adalah langkah tepat pada masanya.

Iklan

Bukan sahaja akan memberikan manfaat langsung kepada penjawat awam tetapi ia juga dijangka dapat memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Peningkatan gaji akan meningkatkan kuasa beli penjawat awam, satu elemen penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi.

Apabila mereka mempunyai lebih banyak wang untuk dibelanjakan, permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan akan meningkat, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi terutama dalam kalangan peniaga kecil serta sederhana di kawasan setempat.

Namun begitu, di sebalik euforia (kegembiraan) peningkatan pendapatan itu, sebagai rakyat yang berpegang kepada prinsip Madani, kita harus merenung peranan kita dalam menyambut pengumuman tersebut.

Sedikit atau banyak tetap syukur

Dalam Islam, konsep bersyukur sangat ditekankan. Hadis daripada Nu‘man bin Basyir menyatakan bahawa Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang tidak bersyukur dengan sedikit, maka dia tidak akan bersyukur apabila banyak."

Hadis tersebut mengingatkan kita bahawa seorang Muslim sejati harus sentiasa bersyukur tidak kira sebanyak mana nikmat diterima.

Ia bukan sahaja ditunjukkan melalui kata-kata, bahkan juga melalui tindakan.

Jika kita mampu bersyukur dengan sedikit, kita akan lebih mudah untuk bersyukur apabila menerima nikmat lebih besar.

Ia bukan sahaja memperkukuhkan hubungan kita dengan ALLAH tetapi juga hubungan sesama manusia.

Sikap berterima kasih

Selain itu, hadis yang sama turut menyebut: "Sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, dia tidak akan berterima kasih kepada ALLAH."

Ia menekankan betapa pentingnya kita untuk berterima kasih kepada pihak yang telah memberikan manfaat kepada kita termasuk kerajaan yang telah melaksanakan pelarasan gaji tersebut.

Walaupun kita sedar bahawa segala rezeki datangnya daripada ALLAH, kita juga diajar untuk menghargai usaha manusia yang menjadi perantaraan dalam rezeki tersebut.

Sikap berterima kasih itu tidak seharusnya terhenti pada ucapan semata-mata tetapi perlu ditunjukkan melalui tindakan yang mencerminkan kesedaran kita terhadap nikmat yang diterima.

Tingkat upaya simpan, labur

Di samping itu, pelarasan gaji juga memberi peluang kepada penjawat awam untuk meningkatkan keupayaan menyimpan dan melabur.

Malah dengan merancang kewangan, ia akan membantu mengurangkan beban kewangan pada masa hadapan dan memberikan mereka lebih ketenangan dalam menjalani kehidupan.

Akhirnya apa juga pandangan atau respons kita terhadap pengumuman tersebut, penting untuk kita ingat bahawa setiap langkah yang diambil oleh kerajaan adalah untuk kebaikan rakyat.

Dengan sikap dan tindakan yang positif, kita bukan sahaja dapat menikmati manfaat daripada pelarasan gaji ini, tetapi juga membantu memperkukuhkan ekonomi negara dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.

Kesimpulannya, pengumuman kenaikan gaji penjawat awam ini adalah satu langkah yang tepat dan relevan dalam konteks ekonomi semasa.

Ia bukan sahaja membawa manfaat kepada penjawat awam tetapi juga kepada peniaga-peniaga kecil dan masyarakat umum.

Sebagai rakyat yang bersyukur, kita perlu menyambut pengumuman tersebut dengan sikap positif dan memanfaatkan peluang itu untuk memperbaiki kehidupan serta menyumbang kepada kesejahteraan negara seterusnya meningkatkan lagi hubungan dengan Sang Pencipta melalui amal jariah.

***DR HASHIM AHMAD SHIYUTI merupakan Pensyarah Pusat Tamhidi, Universiti Sains Islam Malaysia

***ALIFAH HAMID merupakan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Pusat Tamhidi, Universiti Sains Islam Malaysia