HDC dilantik sekretariat tambah baik taman industri halal

Iklan
MENTERI besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (tiga dari kiri) melihat pelan pembangunan Perak HIP sempena majlis pecah tanah di Lekir pada Ogos tahun lalu.

HALAL Development Corporation Berhad (HDC) dilantik sebagai sekretariat Jawatankuasa Petugas Penambahbaikan Taman Industri Halal dan Sekretariat Majlis Halal Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dibuat kerana satu pendekatan secara holistik perlu diambil, memandangkan potensi dan permintaan produk halal yang luas harus dimanfaatkan oleh pemain industri tempatan.

Iklan
Iklan

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Petugas Khas Penambahbaikan Taman Industri Halal, Ogos lalu.

Mesyuarat tersebut bertujuan membincangkan inisiatif Penambahbaikan Taman Industri Halal HALMAS sebagai susulan daripada MPIH yang telah diadakan pada 10 Jun.

Iklan

Ahmad Zahid berkata, taman industri halal yang berjaya perlu mempunyai kesan limpahan positif ke atas ekonomi negara dan pembangunan kesemua 14 taman industri halal yang keseluruhannya berkeluasan 5,476 hektar.

Ia akan berupaya menarik pelaburan tempatan dan asing seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

Iklan

"Hanya tiga daripada 14 taman industri halal telah mencatatkan peratusan penggunaan tanah melebihi 70 peratus iaitu di POIC Tanjung Langsat, Techpark @Enstek dan Melaka Halal Hub.

"Justeru, saya telah mengumumkan dalam mesyuarat MPIH yang lepas agar Pasukan Petugas Khas ditubuhkan untuk membincangkan isu dan cabaran yang dihadapi oleh operator taman industri halal serta mengemukakan cadangan bagi meningkatkan keberkesanannya," kata Ahmad Zahid.

HALMAS merupakan akreditasi ditawarkan kepada operator Taman Halal yang berjaya mematuhi garis panduan ditetapkan di bawah pembangunan Taman Halal HDC. - Bernama