KUALA LUMPUR - Keluarga G Vijaya Lakshmi, rakyat India yang hilang dalam insiden tanah jerlus di Masjid India, di sini dua minggu lalu menerima sumbangan ihsan RM30,000 daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum berlepas ke tanah air mereka pada 1 September lalu.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif ketika dihubungi Astro Awani memberitahu, wang tersebut diserahkan secara tunai kepada keluarga mangsa sehari selepas kerajaan mengambil keputusan untuk menamatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
"Ingin saya jelaskan di sini, ini bukan pampasan, ini adalah sumbangan ihsan daripada DBKL kepada keluarga mangsa," katanya di sini pada Jumaat.
Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa ketika dihubungi memberitahu, mangsa diberi sumbangan daripada DBKL dan pihak korporat.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, cadangan pemberian pampasan kepada keluarga mangsa akan dibincangkan mesyuarat Jemaah Menteri.
Menurutnya, kerajaan sedia mempertimbangkan pampasan kepada keluarga mangsa yang hilang dalam kejadian tanah jerlus itu.
Pada 23 Ogos lalu wanita berusia 48 tahun berasal dari Kuppam, Andhra Pradesh, India itu hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di Jalan Masjid India.
Sembilan hari kemudian, selepas mendapat pandangan daripada sudut pakar, kerajaan memutuskan untuk menamatkan operasi SAR selama sembilan hari.
Keputusan untuk menghentikan operasi SAR dibuat atas beberapa faktor termasuk isu keselamatan membabitkan anggota SAR, selain faktor keselamatan semasa di lokasi susulan beberapa kejadian tanah jerlus susulan yang berlaku akhir-akhir ini. - Awani