ALOR SETAR - Kementerian Pendidikan (KPM) bersedia menawarkan sesi kaunseling kepada murid-murid yang menjadi mangsa rakaman video dalam bas sekolah yang dimuat naik oleh pemandu bas berkenaan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, ia akan diuruskan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan unit berkaitan bagi membantu mangsa sekiranya mengalami trauma.
Iklan
Iklan
Menurutnya, KPM sentiasa bersedia untuk membantu memulihkan emosi murid yang dirakam wajah mereka dan dimuat naik di laman sosial milik pemandu bas berkenaan.
"Sekiranya ada keperluan, KPM melalui JPN akan berikan sesi kaunseling kepada murid terlibat yang merupakan mangsa dalam isu tersebut. Kita akan bantu dalam semua aspek yang diperlukan,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Biasa DAP Kedah di sini pada Jumaat.
Kah Woh berkata, KPM juga menyerahkan kepada pihak polis untuk meneruskan siasatan berhubung kes terbabit.
Sebelum ini tular seorang pemandu bas yang memuat naik video dan menyiarkan gambar kanak-kanak dibawanya menerusi aplikasi TikTok.
Susulan itu, polis telah menahan pemandu bas berusia 24 tahun itu di Simpang Renggam, Kluang selain merampas telefon bimbit dipercayai digunakannya untuk siasatan lanjut.