Dewan makan MRSM Taiping sudah diarah tutup - Exco Kesihatan

Iklan
Sivanesan

IPOH - Jabatan Kesihatan Perak telah mengarahkan penutupan dewan makan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping susulan kejadian keracunan makanan melibatkan 62 pelajar di institusi pendidikan tersebut pada 30 dan 31 Ogos lalu.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Larut, Matang dan Selama (PKD LMS) telah menerima sebanyak 30 notifikasi kes keracunan makanan pada 30 Ogos diikuti 32 kes tambahan pada hari berikutnya dari Klinik Kesihatan Taiping melibatkan pelajar yang tinggal di asrama dalam MRSM Taiping.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil siasatan awal di lapangan mendapati kesemua pelajar tersebut yang berusia di antara 16 hingga 17 tahun mempunyai sejarah makan di dewan makan MRSM Taiping tersebut dan mengalami gejala sakit perut, cirit-birit, pening, loya, demam serta muntah.

"Pihak PKD LMS telah membuat pemeriksaan premis dewan makan MRSM Taiping pada 30 Ogos 2024 jam 11.45 pagi dan mendapati bahawa rating pada waktu tersebut adalah 70.11 peratus. Sehubungan itu, pihak PKD LMS telah mengeluarkan arahan penutupan premis dewan makan MRSM Taiping di bawah Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Iklan

"Pemeriksaan semula ke atas premis dewan makan MRSM Taiping telah dilakukan pada 2 September 2024 jam 3.15 petang dan mendapati bahawa rating pada waktu tersebut adalah 88.51 peratus dan dibenarkan beroperasi semula dengan penambahbaikan yang dicadangkan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sivanesan berkata, sebanyak empat sampel klinikal telah diambil dari kalangan kes yang bergejala serta dua sampel makanan dan 13 sampel pengendali juga telah diambil pada 30 Ogos untuk dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Ipoh untuk tujuan analisis.

Iklan

Menurutnya, pihak pejabat kesihatan juga telah merancang untuk melakukan pemeriksaan premis tersebut secara berkala bagi memastikan pihak pengendali makanan sentiasa mematuhi prosedur pengendalian makanan yang selamat.

"Saya amat kesal dengan apa yang berlaku kerana kejadian sama pernah berlaku di lokasi berkenaan pada 2018, malah laporan mengenainya kita telah hantar kepada pihak sekolah serta Mara (Majlis Amanah Rakyat) untuk tindakan lanjut. Kita mengambil serius perkara ini dan tindakan tegas akan diambil kepada pihak pengusaha.

"Kejadian itu tidak sepatutnya diambil lewa oleh mana-mana pihak kerana kita tidak mahu ada anak-anak ini yang menjadi korban pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Terdahulu Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melalui hantaran di Facebook susulan lawatan ke MRSM Taiping pada 5 September 2024 memaklumkan menerima laporan daripada ibu bapa pelajar di institusi tersebut mengenai kes keracunan makanan yang berlaku.