Pemerdagangan manusia: Peranan Datuk Seri cari pelabur disiasat

Iklan
Tan Sri Razarudin Husain. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat peranan seorang Datuk Seri, yang disyaki menjadi dalang dalam kes pemerdagangan manusia di Myanmar.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan kini tertumpu kepada peranan Datuk Seri itu dalam mengenal pasti pelabur-pelabur yang berpotensi untuk melabur di Myanmar.

Iklan
Iklan

"Kita juga menyiasat peranan seorang lelaki disyaki mengambil kesempatan untuk menjana keuntungan dari pelabur-pelabur yang berjaya dipujuk, selain mengenal pasti hubungan beberapa individu serta dua ahli perniagaan warga China dalam kes berkenaan," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Beliau berkata, polis juga telah mengambil keterangan dua lagi individu berhubung siasatan sindiket itu menjadikan keseluruhan 11 individu telah dirakam keterangan setakat ini.

Iklan

Secara keseluruhan, proses merakam percakapan itu membabitkan seorang ahli politik dan suaminya, ahli perniagaan serta beberapa individu daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wartawan portal tempatan.

Semalam, media tempatan melaporkan PDRM sedang menganalisis dan meneliti kedudukan kewangan beberapa syarikat yang dikaitkan dengan kegiatan pemerdagangan manusia di Myanmar. - Bernama

Iklan