Pesak tuntut janji RM20 juta beli pam air

Iklan
Sebahagian petani yang turun ke kawasan di hadapan Rumah Pam Kemubu Utama di Ketereh, Kota Bharu. Foto Sinar Harian/ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU - Persatuan Pesawah-pesawah Kelantan (Pesak) menuntut janji peruntukan RM20 juta oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipercepatkan bagi membantu menyelesaikan masalah pengairan sawah padi melibatkan lebih 7,000 petani di negeri ini.

Pengerusi Pesak, Zuha Ismail, berkata, peruntukan itu diumumkan pada Mei lalu bagi pembelian 20 unit pam air yang perlu diselesaikan sebelum bermulanya penanaman padi bagi musim kedua Oktober ini.

Zuha. Foto Sinar Harian/ADILA SHARINNI WAHID

Iklan
Iklan

Menurut beliau, masalah air melibatkan petani-petani di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di kawasan Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh tersebut sekian lama berlaku bahkan makin meruncing pada tahun ini ditambah dengan kesan cuaca panas.

"Pesawah di Kelantan menderita menanggung masalah air yang berlarutan dan paling teruk dirasai pada tahun ini hingga ada antara mereka tidak menanam padi pada musim pertama lalu.

Iklan

"Jadi, saya minta Perdana Menteri supaya bantulah kami, segerakan pembelian pam air, kami masih tertunggu-tunggu penyelesaian masalah ini kerana jika tidak, betapa sedih petani kerana keadaan yang makin kritikal,” katanya kepada pemberita pada perhimpunan aman kira-kira 100 pesawah di hadapan Rumah Pam Kemubu Utama, di sini, pada Jumaat.

Menurut beliau, antara punca utama masalah pengairan ke sawah padi itu terjadi juga akibat cerucuk paip di stesen berkenaan yang didakwa bocor kerana usia terlalu lama.

Iklan

Katanya, keadaan tersebut juga menyebabkan hanya 25 peratus daripada 2,645 hektar keseluruhan keluasan tanaman padi diusahakan pada musim pertama lalu.

Petani menunjukkan air yang tidak dapat dipam di Rumah Pam Kemubu Utama di Ketereh, Kota Bharu. Foto Sinar Harian/ADILA SHARINNI WAHID

"Petani juga tidak dapat mengutip hasil padi sepenuhnya pada musim lalu kerana kebanyakan pokok padi mengalami kerosakan.

"Akibatnya, petani-petani menanggung kerugian mencecah sekitar RM32 juta selain lebih 30 peratus mereka sudah beralih kerjaya termasuk bekerja sebagai buruh kasar,” kata beliau.

Justeru, beliau amat berharap, semua pihak termasuk kerajaan Persekutuan dan negeri dapat dapat kerjasama dengan baik untuk menyelesaikan masalah ini.

"Kami sudah tidak dapat menunggu lebih lama atau mengalami kerugian bertimpa-timpa jika masalah ini tidak diselesaikan,” katanya.