'Pengasuh taska bedung bayi saya, sumbat botol susu, tekup bantal' - Bapa

Iklan
Mohd Fikry Amri (kiri) ketika ditemui pemberita di pekarangan Unit Forensik Hospital Alor Gajah pada malam Jumaat.

ALOR GAJAH - [DIKEMAS KINI]"Dia bedung anak saya, sumbat botol susu, tutup dengan kain dan tekup dengan bantal," kata bapa kepada bayi lapan bulan yang maut di taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Taman Kelemak Utama, Mejar Ir TS Mohd Fikry Amri Abd Halim, 39.

Mohd Fikry Amri yang berkhidmat di Kem Perdana Sungai Besi berkata, tindakan tidak berperikemanusiaan pengasuh di taska itu terhadap bayinya, Muhammad Al Fateh Mohd Fikry Amri dilihat menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat jagaan itu bersama pihak polis.

Iklan
Iklan

Dia berkata, isterinya, Sabrina Hakiem Zaini, 39, menerima panggilan daripada pihak taska lebih kurang jam 9 pagi yang memaklumkan bayi lelakinya dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Antara waris dan rakan yang hadir ke pekarangan Unit Forensik Hospital Alor Gajah pada malam Jumaat.

Katanya, sebelum dihantar ke taska oleh isterinya kira-kira jam 7 pagi, arwah anak yang sudah pandai merangkak dalam keadaan sihat.

Iklan

"Selama ini saya ingat taska itu ada lesen sebab sudah beroperasi empat tahun, tetapi apabila disiasat polis rupanya tiada lesen. Itu yang agak terkilan.

"Saya harap insiden ini diambil tindakan supaya tak jadi kepada anak-anak lain," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Alor Gajah, di sini, pada Jumaat.

Iklan

Mohd Fikri berkata, mereka menunggu selama 13 tahun untuk mendapatkan zuriat, namun tidak menyangka nyawa anak tunggalnya itu diragut dalam keadaan tragis.

Ujarnya, perbuatan kejam tersebut disyaki dilakukan oleh pengasuh berusia 34 tahun mungkin kerana anaknya agak lasak.

"Mungkin dia tak suka sebab itu dia bendung untuk memudahkan kerja, saya nampak macam itu.

"Saya boleh terima sekiranya anaknya itu meninggal dunia disebabkan tersedak susu atau terjatuh kerana ia di luar kawalan, namun kesal sebaliknya berlaku," katanya.

Dia berkata, lebih menyedihkan apabila isteri terpaksa membawa sendiri anaknya ke hospital dalam keadaan terkulai dan tidak sedarkan diri dengan keadaan mulut berdarah dan muka biru.

Muhammad Al Fateh Amri meninggal dunia ketika dihantar di sebuah taska.

Difahamkan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kelemak setelah selesai proses bedah siasat pada malam Jumaat.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan seorang bayi lelaki berusia lapan bulan dipercayai meninggal dunia di sebuah taska di Taman Kelemak Utama di sini pada Jumaat.

Difahamkan bayi sulung dipercayai kepada pasangan suami isteri seorang pegawai tentera dan guru itu telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat.

Tinjauan Sinar Harian di taska berkenaan mendapati pasukan forensik tiba di taska terbabit pada jam 7.05 petang bagi melakukan pemeriksaan lanjut berhubung kejadian.