PKNS lancar SA Sentral dengan GDV bernilai RM3 billion

Iklan
Mahmud (tujuh dari kiri) mengiringi Menteri Besar Selangor (lima dari kanan) melihat pusat pameran Galeria SA Sentral, Seksyen 14, di sini.

SHAH ALAM - Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melancarkan SA Sentral iaitu sebuah projek pembangunan ikonik bandar berimpak tinggi dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM3 bilion, mengambil masa tujuh tahun untuk disiapkan.

Iklan
Iklan

Bersandarkan kepada prinsip '3R-Rejuvenate, Reconnect dan Reinvent', SA Sentral akan mengubah landskap bandar Shah Alam dengan reka bentuk inovatif, amalan lestari serta ciri-ciri bandar pintar dan rendah karbon bermatlamat untuk menarik minat generasi baharu penduduk, perniagaan serta pengunjung.

PKNS menyifatkan projek ini berpotensi mentransformasikan Bandaraya Shah Alam menjadi sebuah daerah perniagaan pusat atau central business district (CBD) dinamik dan mampu bersaing dengan Kuala Lumpur, selain menyediakan ekosistem ideal untuk perniagaan serta usahawan.

Iklan

Berkeluasan 58.6 hektar (145 ekar), projek ini melibatkan komponen pembangunan Plaza Alam Sentral (PAS), Plaza Perangsang, SACC Mall, SACC Walk, Kompleks PKNS Shah Alam, Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) serta beberapa kawasan di Seksyen 14.

Pembangunan adalah bercampur berkonsepkan Pembangunan Berorientasikan Transit atau Transit Oriented Development (TOD), di mana semua bangunan akan dihubungkan antara satu sama lain.

Iklan

Selain itu, ia turut menyediakan prasarana serta kemudahan merangkumi ruang diperuntukkan untuk pejabat, peruncitan, cawangan F&B, hotel, kemudahan mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran, kediaman serta pusat kebudayaan dengan matlamat untuk menjadi segi tiga emas baharu di Selangor.

Ia juga selaras dengan visi Selangor untuk menjadi sebuah negeri pintar dan prihatin di bawah inisiatif Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, Bandaraya Shah Alam telah lama kekurangan daya tarikan yang memikat untuk generasi Gen Z dan golongan muda.

"Dengan SA Sentral, PKNS berusaha mengisi jurang ini dengan membangunkan semula Bandaraya Shah Alam agar sesuai dengan keperluan serta kehendak trend pasaran semasa dan menjadikannya destinasi pilihan bagi golongan profesional muda, keluarga dan perniagaan,” ujar Mahmud sempena pelancaran projek pada Jumaat malam.

Terdahulu beliau mengiringi Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari bagi menyempurnakan pelancaran SA Sentral di Galeria SA Sentral, Seksyen 14, di sini.

Diposisikan sebagai nadi kepada Bandaraya Shah Alam, SA Sentral diyakini bakal menjadi pemangkin transformasi bandar raya ini dan pembangunannya akan membentuk komuniti dinamik di mana perniagaan, budaya serta gaya hidup bertemu.

Terletak di tengah Bandaraya Shah Alam, SA Sentral berada di lokasi strategik, iaitu hanya 25 hingga 30 meter dari Stesen LRT 3 Dato Menteri seterusnya menjadikannya sangat mudah untuk diakses.

Malah, pembangunannya di kelilingi pelbagai kemudahan seperti pusat beli-belah, fasiliti kesihatan dan institusi pendidikan, yang pastinya menjadi destinasi pilihan utama bagi mereka mencari keselesaan serta kemudahan hidup.

Pusat hiburan dinamakan Aneka Walk yang terletak di tengah-tengah kesibukan bandar menyediakan suasana taman yang membawa pengunjung ke alam semula jadi yang mendamaikan.

Rekaannya berkonsepkan landskap yang elegan, dengan seni bina ikonik yang ekspresif bagi menarik orang ramai mengunjungi hab ini dan menikmati pelbagai aktiviti menarik di situ.

Sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap kelestarian, SA Sentral adalah pembangunan rendah karbon yang selaras dengan matlamat Selangor untuk menjadi sebuah negeri hijau.

Bandar ini akan dilengkapi dengan bas elektrik, tempat letak kereta berpusat, serta laluan pejalan kaki berbumbung, menjadikannya sebuah bandar mudah diakses dengan berjalan kaki sambil menggalakkan gaya hidup sihat.

Malah, galeri jualan SA Sentral dengan keluasan kira-kira satu hektar (2.5 ekar) ini turut mengetengahkan elemen hijau bagi menunjukkan komitmen PKNS terhadap elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam pembangunannya.

Mahmud mengulas lanjut berkata, projek tersebut diharapkan akan memberi sumbangan signifikan kepada ekonomi negeri melalui peluang pekerjaan baharu, tarikan pelaburan dan merangsang pertumbuhan ekonomi.

Jelasnya, pembangunan ikonik daripada PKNS ini bertujuan untuk mentakrifkan semula Shah Alam, ibu negeri Selangor sebagai destinasi setaraf dengan Kuala Lumpur dan kawasan pusat perniagaan lain, sekali gus meningkatkan daya tarikannya kepada pelbagai lapisan masyarakat.

"Visi kami adalah untuk memangkin pertumbuhan sosioekonomi demi kesejahteraan rakyat Selangor dengan mewujudkan sebuah tempat yang penuh dengan peluang, sama ada memulakan perniagaan, mencari pekerjaan atau untuk menikmati kualiti hidup lebih baik," ujarnya

Jelasnya, SA Sentral akan menjadi sebuah hab dinamik, menyatukan masyarakat dan merangsang pertumbuhan ekonomi serta akan menjadi nadi Bandaraya Shah Alam yang membawa era baharu bagi kawasan ini.

"PKNS juga menaruh harapan tinggi agar projek yang bakal memberi manfaat kepada bandar Shah Alam dan penduduknya ini dapat direalisasikan dengan lancar dan berjaya berkat kerjasama erat serta sokongan padu daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)," ujarnya.

Menurutnya, dengan lokasi yang strategik, infrastruktur yang canggih dan komitmen terhadap kelestarian, SA Sentral bersedia menetapkan piawaian baharu untuk kehidupan bandar di Malaysia.

"Sertailah kami membentuk masa depan Bandaraya Shah Alam dalam menyumbang kepada pembangunan komuniti yang meriah dan dinamik di sini,” tambah Mahmud.