'Hubungan Malaysia-China tidak akan terjejas'

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai kenyataan Perdana Menteri bahawa Malaysia akan terus teroka minyak di Laut China Selatan walau dibantah China.

SHAH ALAM - Hubungan Malaysia dan China dijangka tidak terjejas sehingga wujudnya ketegangan diplomatik walaupun penegasan bahawa penerokaan minyak akan terus dilakukan di perairan Sarawak.

Pakar Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Profesor Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam berkata, kenyataan terbaru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sebenarnya memperlihatkan bahawa negara berhak melakukan penerokaan di wilayah sendiri.

Iklan
Iklan

Malah katanya, ia juga satu isyarat kepada Beijing bahawa Malaysia mempunyai kedaulatan dan hak yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa, termasuk oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Undang-Undang Laut (UNCLOS).

"Dunia mengiktiraf keupayaan dan kedaulatan Malaysia. Kalau kita lihat, China tak kisah sangat berkaitan Laut China Selatan sebelum ini sebab ketika itu tak ada apa-apa. Bagaimanapun, memasuki tahun 2000, mereka mula berminat apabila kita ada keupayaan mengesan kehadiran kawasan minyak.

Iklan

"Jadi, tindakan Perdana Menteri tepat kerana Malaysia memberikan isyarat kepada Beijing bahawa Laut China Selatan bukan milik mereka keseluruhannya dan cari gali itu dilakukan di kawasan negara dan terbukti kedaulatan kita,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Mohd Mizan, beliau percaya kerajaan sedang melakukan pelbagai strategi untuk kekal relevan dan mampu mengawal keselamatan dan kedaulatan negara.

Iklan

"Saya nampak bahawa isu ini tidak akan sampai ke peringkat terputusnya hubungan diplomatik dengan China atau mana-mana negara kalau berkait dengan Laut China Selatan. Kita sebenarnya menjaga semampu mungkin perairan dan kedaulatan negara,” jelasnya.

Pakar Hubungan Antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Ahmad Marthada Mohamed turut senada dan menyatakan perkembangan terbaru itu tidak akan menjejaskan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Menurutnya, China sendiri mungkin faham kedudukan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) adalah satu kawasan yang mana tiada sebuah negara pun yang boleh menyatakan itu milik mereka.

Malah, tuntutan China terhadap beberapa kawasan di Laut China Selatan juga bukanlah satu perkara baharu sehingga menimbulkan konflik antara China dengan Vietnam, Filipina, Singapura, Malaysia dan negara-negara lain.

"Hubungan Malaysia dengan China memang sentiasa berada dalam keadaan baik dan Perdana Menteri sendiri menyatakan bahawa mereka akan menghantar makluman, memberitahu kepada China apa yang Malaysia lakukan.

"Saya kira dengan adanya hubungan baik ini, ia tidak akan meninggalkan apa-apa konflik atau pertikaian.

"Kita tahu bahawa China dengan Malaysia sering kali tidak sependapat dalam isu pertikaian Kepulauan Spratly dan tuntutan di kawasan perairan Laut China Selatan, namun hubungan kita itu lebih kepada pertelingkahan kenyataan-kenyataan umum dan tidaklah bersifat ugutan atau ancaman,” ujar beliau.