AYER HITAM - Ahli Jawatankuasa Masjid Ar Rahman, Kerpan di sini mengambil inisiatif menganjurkan kelas bacaan al-Quran dan tajwid secara percuma kepada golongan kanak-kanak dalam usaha melahirkan anak-anak kariah yang celik al-Quran.
Setiausaha Masjid Ar Rahman, Sabri Safie berkata, kelas tersebut dimulakan pada 2019 dengan jumlah pelajar terkini ialah kira-kira 60 orang.
Menurutnya, kelas yang dikhususkan kepada pelajar berusia enam hingga 15 tahun itu diadakan pada setiap Jumaat dari jam 3 petang hingga waktu Asar.
"Sambutan daripada ibu bapa amat menggalakkan dan setiap tahun akan ada pertambahan pelajar,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, usia muda adalah masa yang terbaik untuk mula mengenal dan belajar Muqaddam, seterusnya al-Quran dan tajwid.
Dalam pada itu Sabri memberitahu, kelas kepada golongan Muslimat juga diadakan dengan penekanan diberikan kepada aspek bertadabbur pada setiap Jumaat malam yang disampaikan oleh Ustaz Abu Hassan Al Ariffin.