Kasih sayang utuh walau lain agama

Iklan
Pusparani (duduk, tengah) ketika menyambut Deepavali bersama Muhammad Syafiq (berdiri, kanan) dan ahli keluarganya yang lain di rumahnya di Kampung Kolam.

KUALA TERENGGANU - Kasih sayang antara seorang ibu dan anak yang dikandung tidak akan terputus walaupun anak lelaki tunggalnya itu memeluk Islam.

Perkara itu diakui Pusparani Marimuthu, 65, yang menyokong keputusan anaknya, Suresh Ramachandran, 45, atau nama Islamnya Muhammad Syafiq Suresh untuk menjadi seorang Muslim sejak lebih 20 tahun lalu.

Iklan
Iklan

Ibu kepada empat anak itu berkata, hubungan kekeluargaan antara mereka bertambah erat selepas dia dikurniakan empat cucu hasil pernikahan Muhammad Syafiq bersama isterinya, Noorhaslinda Mazlan, 42.

"Masa mula-mula dia beritahu mahu peluk Islam, hati saya agak keberatan sebab dia adalah satu-satunya anak lelaki saya.

Iklan

"Dalam adat masyarakat India, apabila ibu bapa meninggal dunia urusan pengebumian dilakukan oleh anak lelaki. Ada sedikit kegusaran dalam hati saya siapa yang akan uruskan apabila saya meninggal dunia nanti,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.

Bagaimanapun Pusparani memberitahu, dia memujuk hati dengan mengambil pendekatan positif terhadap keputusan yang diambil oleh anaknya itu.

Iklan

"Saya dan suami tidak menghalang apa pun pilihan dia kerana saya memegang prinsip mahu melihat anak-anak bahagia dan selamat walau di mana pun berada.

"Bagi saya, cukuplah sebagai anak dia dapat datang dan menguruskan pengebumian saya kerana selepas meninggal dunia, kita sudah tidak nampak apa yang berlaku di atas dunia ini.

"Saya bersyukur, sebab saya pun dapat menimang cucu. Masing-masing pun dah besar dan telah menjangkau usia 20-an. Dua daripada mereka fasih berbahasa India,” ujarnya.

Selain Muhammad Syafiq, hasil perkongsian hidup Pusparani bersama Ramachandran Muthu, 74, mereka dikurniakan tiga lagi anak iaitu Sumethi, 44, Shanthi, 36, dan Shankri, 29.

Menurut Pusparani, sambutan musim perayaan merupakan saat indah yang ditunggu mereka sekeluarga kerana dapat berkumpul bersama.

"Saya bersyukur sebab semua anak duduk dekat-dekat di Kuala Terengganu, cuma anak nombor tiga tinggal dengan keluarganya di Melaka.

"Bila tiba musim perayaan tidak kiralah Hari Deepavali atau Hari Raya Aidilfitri, kami sama-sama berkumpul.

"Kalau Hari Raya Aidilfitri, saya sekeluarga akan ke rumah anak. Begitu juga sebaliknya, anak saya selalu bertandang ke rumah. Tiada apa yang membezakan atau menjadi batasan kepada kami melainkan kepercayaan dan agama,” ujarnya.

Tambahnya, setiap perayaan kaum India mempunyai keunikan tersendiri misalnya, dia sekeluarga masih lagi menghiasi lantai rumah dengan kolam atau rangoli.

"Sebenarnya keunikan yang ada dalam setiap perayaan itu kita raikan bersama, saling mempelajari apakah adat dan budaya serta apa pantang larang dalam setiap agama.

"Kita belajar dan kita hormati pegangan agama masing-masing dan dalam masa yang sama kita eratkan hubungan sesama kita,” ujarnya.

Pusparani berkata, baginya, hubungan antara masyarakat berbilang kaum di Terengganu juga amat harmoni dan lebih erat.

"Biasalah di Terengganu, Kelantan dan di lain-lain tempat pun saya rasa hubungan antara kaum kita cukup baik.

"Asalkan kita ambil pendekatan positif, saya rasa kita semua akan hidup bahagia. Pokok pangkalnya, kita sama-sama jaga dan pandu hubungan ke arah yang positif, ia sekali gus akan dapat melahirkan masyarakat yang sejahtera,” katanya.