SHAH ALAM - Langkah merombak prosedur operasi standard (SOP) bagi tuntutan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) merupakan tindakan mendidik masyarakat dan melindungi pencarum daripada sebarang aktiviti penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Pakar psikologi dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Profesor Datuk Dr Mohamed Fadzil Che Din berkata, dengan melaksanakan kajian dan analisis terperinci dapat memastikan pencarum atau waris tidak terlibat dengan aktiviti penipuan, penyelewengan dan tuntutan palsu.
"Lazimnya peraturan dan undang-undang yang dikeluarkan ialah langkah untuk melindungi dan menjaga kepentingan pencarum dan mereka perlu melihat tindakan ini sebagai elemen memperbaiki penjagaan kebajikan pekerja.
"Ini juga tindakan mendidik masyarakat dalam aspek psiko pendidikan kepada pencarum yang ada kecenderungan untuk menipu dan menyeleweng dalam membuat tuntutan palsu,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Mohamed Fadzil, PERKESO juga perlu mengenal pasti modus operandi yang dimainkan oleh kartel terlibat dalam isu penipuan tuntutan supaya ia dapat dibanteras dan tidak berulang pada masa akan datang.
Katanya, dengan menubuhkan satu jawatankuasa khas dapat membantu pencarum daripada aktiviti salah laku berkaitan tuntutan faedah.
"Menerusi data dan analisis yang terperinci memang kita boleh bendung isu ini termasuk mengenal pasti kaedah penipuan, bentuk kartel, sistem penipuan dan sebagainya.
"Kalau boleh pengumpulan data itu dilakukan dengan lebih teliti dan bukan hanya mengumpul profil pencarum sahaja kerana kita tidak mahu ada individu yang terperangkap dengan penipuan oleh kartel tidak bertanggungjawab ini,” ujar beliau.