Lelaki ditahan fitnah anggota polis terkorban serangan Balai Polis Ulu Tiram

Iklan
Suspek menghantar komen berunsur fitnah terhadap anggota polis yang terbunuh dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor. Foto: ihsan pembaca

TAPAH - Polis menahan seorang lelaki yang disyaki menghantar komen berunsur fitnah terhadap anggota polis yang terkorban dalam serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor di laman Facebook.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Mohd Naim Asnawi berkata, pemilik akaun berusia 25 tahun itu ditahan susulan satu laporan polis diterima daripada waris Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, pada 29 Ogos lalu.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, laporan itu berkaitan satu hantaran di ruangan komen milik seorang warga tempatan yang turut menggores perasaan waris keluarga Allahyarham.

"Bertindak atas laporan itu, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah telah membuat tangkapan terhadap suspek.

Iklan

"Tangkapan dibuat sekitar jam 8 malam di sebuah rumah di Masai Johor pada Khamis dan merampas sebuah telefon bimbit," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Mohd Naim berkata, suspek telah direman selama empat hari bermula Jumaat hingga Isnin depan untuk siasatan lanjut.

Iklan

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Dalam kejadian 17 Mei lalu, Ahmad Azza Fahmi dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan parang.

Serangan sekitar jam 2.45 pagi itu menyebabkan Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, telah cedera ditembak manakala suspek yang berusia 21 tahun maut.