Elak normalisasi kandungan berbentuk pengantunan seksual

Iklan
Laporan Sinar Harian.

MASYARAKAT pada masa kini amat gemar berkongsikan kehidupan peribadi dan aktiviti harian mereka kepada umum melalui platform sosial media.

Namun, ia sudah tentu menjadi kebimbangan lebih-lebih lagi para ibu bapa apabila ada individu merakam video anak-anak yang masih kecil tanpa pengetahuan mereka dengan niat yang tidak baik.

Iklan
Iklan

Sebelum ini, tular beberapa video yang memaparkan seorang pemandu bas yang mempunyai lebih 600,000 pengikut di TikTok, merakam beberapa murid sekolah perempuan yang dianggap pemandu bas tersebut sebagai ‘crush’ atau seseorang yang diminati atau disukai secara romantik.

Kesemua video yang dirakam sambil memandu itu memaparkan wajah murid-murid tersebut dengan jelas.

Iklan

Perkongsian berkenaan mendapat respon pelbagai pihak termasuk daripada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri yang menyuarakan kebimbangan selepas video berkenaan tular di media sosial.

Lelaki terbabit yang berusia 24 tahun itu kemudiannya ditahan polis pada Jumaat dan direman selama lima hari sehingga 10 September depan bagi membantu siasatan.

Iklan

Pada Jumaat, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah diminta memberikan kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam siasatan berhubung isu berkenaan.

Ujar beliau, MCMC sebagai agensi teknikal juga telah berhubung dengan pihak TikTok bagi melakukan pemeliharaan data (data preservation) untuk memastikan sebarang maklumat diperlukan oleh PDRM diperoleh segera.

Walau bagaimanapun, perkongsian kandungan akaun pemandu bas sekolah tersebut dibimbangi menjadi budaya atau ikutan oleh masyarakat jika tidak ada penguatkuasaan tegas berhubung isu terbabit.

Lebih-lebih lagi generasi muda yang aktif menggunakan media sosial, sudah pasti mereka akan dipengaruhi oleh kandungan seperti ini.

Justeru, pendekatan menyekat kandungan sahaja mungkin tidak mencukupi untuk membendung perkara ini.

Tindakan undang-undang yang lebih tegas perlu dilaksanakan oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan kandungan seperti akaun TikTok pemandu bas sekolah itu menjadi normalisasi dalam kalangan masyarakat di negara ini.