Jual gula mahal, kedai runcit dikenakan tindakan

Iklan
Pasukan penguat kuasa KPDN Taiping menjalankan pemeriksaan di sebuah premis yang didapati menjual gula melebihi harga kawalan pada Jumaat. Foto ihsan KPDN Perak

TAIPING - Tindakan sebuah kedai runcit di Taman Kota Jaya, Simpang di sini menyembunyikan minyak masak bersubsidi dan menjual gula pasir melebihi harga kawalan mengundang padah apabila diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada Jumaat.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan menerusi Op Samar sekitar jam 11.15 pagi itu dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Taiping selepas menerima aduan awam.

Iklan
Iklan

"Ketika uji beli dilakukan di premis berkenaan, jurujual memaklumkan bahawa minyak masak peket 1 kilogram (kg) bersubsidi telah habis dijual dan tiada stok lagi.

"Curiga dengan kenyataan tersebut, pasukan telah masuk ke dalam premis dan hasilnya mendapati terdapat 220kg minyak masak peket disimpan di stor premis terbabit," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Pemeriksaan Op Samar KPDN menemukan 220 peket minyak masak yang disorok di sebuah premis di Simpang, Taiping. Foto ihsan KPDN Perak

Iklan

Menurut Kamalludin, premis itu juga didapati menjual gula pasir putih bertapis kasar 1kg dengan harga RM2.90 berbanding harga kawalan yang ditetapkan iaitu RM2.85.

Tambah beliau, pihaknya telah mengambil tindakan dengan menyita kesemua 220kg minyak masak dan 337kg gula pasir putih kasar yang bernilai RM1,510.45 serta beberapa dokumen berkaitan.

Iklan

"Tindakan premis cuba menyorok dan enggan menjual barang kawalan itu merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Selain itu, tindakan kes di bawah Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 telah diambil ke atas premis yang sama kerana menjual barang kawalan melebihi harga kawalan yang ditetapkan kerajaan," katanya.