175 pegawai, anggota polis dibuang kerja

Iklan
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay ketika sidang media selepas hadir pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi Univerisiti Awam ke-20 Tahun 2024 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Sabtu. Foto Bernama

BANGI - Seramai 175 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibuang kerja sejak tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, jumlah itu susulan 1,869 pegawai dan anggota dikenakan tindakan tatatertib.

Iklan
Iklan

"Tahun lalu merekodkan 1,238 pegawai dan anggota dikenakan tindakan tataertib dan daripada jumlah itu, seramai 139 orang telah dibuang kerja.

"Bagi tahun ini pula setakat Julai merekodkan 631 pegawai dan anggota dikenakan tindakan tatatertib dengan 36 daripadanya dibuang kerja," katanya dalam sidang akhbar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini pada Sabtu.

Iklan

Ayob Khan sebelum itu hadir menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor Sukarelawan Siswa Siswi Universiti Awam ke-20.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad serta Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

Iklan

Mengulas lanjut, tegas Ayob Khan, berdasarkan statistik itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) konsisten dan berterusan mengambil tindakan serta tidak bertolak ansur terhadap pegawai dan anggota yang terlibat salah laku.

Katanya, antara salah laku yang dikesan seperti pemerasan serta terlibat dengan sindiket dadah.

"Sewaktu saya di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), ada beberapa pegawai termasuk ketua jabatan narkotik berpangkat Superintenden sebuah negeri di Pantai Timur dibuang kerja," ujarnya.

Jelas Ayob Khan, banyak langkah diambil PDRM dalam usaha menangani isu salah laku seperti ikrar bebas rasuah, audit kewangan, pemantauan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) serta profiling.

"Berdasarkan statistik bagi tindakan di bawah Peraturan 3C Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, ada 50 kes direkodkan," ujarnya.