ZPP kendali lapan pusat hemodialisis, rawat 210 pesakit secara percuma

Iklan
Mohamad menyantuni salah seorang pesakit di PHZ Bayan Baru pada Sabtu.

GEORGE TOWN - Zakat Pulau Pinang (ZPP) kini mengendalikan lapan Pusat Hemodialisis Zakat (PHZ) yang memberi rawatan percuma kepada 210 pesakit buah pinggang kronik.

Pemberian rawatan itu mengutamakan golongan asnaf fakir dan miskin.

Iklan
Iklan

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, ZPP juga menyediakan bantuan suntikan Erythropoietin (EPO) kepada pesakit yang menjalani rawatan di luar PHZ.

"PHZ yang berkhidmat kepada masyarakat Muslim di Pulau Pinang itu beroperasi sejak tahun 2001. Kini setelah hampir 23 tahun beroperasi, pusat ini terus memberikan sumbangan besar dalam menjaga kesihatan komuniti kita.

Iklan

"Bagi memastikan penyampaian perkhidmatan dialisis yang terbaik, kita telah mengambil langkah untuk menggantikan mesin-mesin dialisis lama dengan 23 unit mesin baharu yang dilengkapi teknologi terkini.

Mohamad menyantuni salah seorang pesakit di PHZ Bayan Baru pada Sabtu.

"Kos keseluruhan pembelian ini adalah sebanyak RM920,000. Dengan peralatan baru ini, kita berharap dapat menawarkan perkhidmatan yang setanding dengan pusat rawatan dialisis swasta," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada Majlis Serahan Mesin Dialisis Pusat Hemodialisis ZPP di PHZ Bayan Baru di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Datuk Amran Hazali.

Tambah beliau, menyedari bahawa kesihatan adalah elemen penting dalam memastikan kesejahteraan sosioekonomi ummah khususnya bagi golongan asnaf, kerajaan Pulau Pinang melalui ZPP berusaha memastikan perkhidmatan kesihatan yang inklusif kepada golongan asnaf agar mereka boleh menikmati rawatan yang berkualiti melalui dana agihan zakat.

Mohamad (kiri) bertanya sesuatu kepada salah seorang pesakit di PHZ Bayan Baru selepas Majlis Serahan Mesin Dialisis Pusat Hemodialisis ZPP di PHZ Bayan Baru pada Sabtu.

"Bagi memastikan PHZ terus beroperasi dengan tahap kualiti yang tertinggi, Kerajaan Pulau Pinang melalui ZPP telah melaksanakan kerja-kerja menaik taraf premis dan perkhidmatan secara berkala.

"Ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memberikan keselesaan dan rawatan yang terbaik kepada pesakit. Kita juga sedar bahawa kapasiti pusat-pusat ini adalah terhad.

"Justeru, ZPP telah bekerjasama dengan 24 pusat hemodialisis berdaftar untuk menampung permintaan yang tinggi daripada kalangan pesakit asnaf.

"Kerjasama ini adalah bukti komitmen kita dalam memastikan golongan asnaf tidak tercicir daripada menerima rawatan yang diperlukan," katanya lagi.

Sementara itu, Amran berkata, pada tahun 2024 ini, ZPP telah memperuntukkan sebanyak RM6.9 juta bagi pengurusan dan operasi PHZ.

"Insya- ALLAH, saya pasti serahan mesin hemodialisis yang diterima hari ini pastinya membantu dan memberikan manfaat kepada pesakit.

"ZPP akan memastikan agenda sosio-ekonomi ummah akan menjadi lebih berdaya saing, mampan dan inklusif di Pulau Pinang seiring dengan agenda Malaysia Madani dan Visi Penang2030," katanya.