'Projek untuk rakyat Terengganu terencat kerana sekatan royalti petroleum' - MB

Iklan
Sebahagian daripada orang ramai yang hadir sempena program Munajat Terengganu Sejahtera di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu pada malam Jumaat. FOTO: Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI)

KUALA TERENGGANU - Program pembangunan diusahakan kerajaan negeri di Terengganu tidak dapat berjalan dengan sempurna akibat sekatan terhadap bayaran royalti petroleum oleh kerajaan Pusat.

Iklan
Iklan

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelbagai syarat dikenakan terhadap permohonan royalti tersebut menyebabkan banyak perancangan yang telah siap dirangka tergendala.

Menurutnya, pelbagai program di negeri ini terencat dan terganggu kerana penyaluran hasil negeri tersebut dirumitkan.

Iklan

"Lihatlah kesan kepada pembinaan kluster perumahan rakyat, bantuan kepada mereka yang ingin meneruskan perniagaan, bantuan sukan, belia, bengkel kemahiran dan bantuan kesihatan kepada pesakit kronik, orang kurang upaya (OKU) serta pendidikan.

"Termasuk juga apa yang ingin kita laksanakan iaitu (pembinaan) Pusat Ilmu Tafaqquh Fiddin sedikit sebanyak terganggu dan terencat akibat perbuatan mereka.

Iklan

"Tidakkah mereka rasa sedikit perasaan ihsan dan sedar akan kelemahan yang telah mereka cipta ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena program Munajat Terengganu Sejahtera di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, malam Jumaat.

Jelas Ahmad Samsuri, program Munajat Terengganu Sejahtera yang disertai kira-kira 10,000 orang itu antara usaha dilakukan bagi memastikan urusan perundingan penyaluran royalti dipermudahkan.

"Bermula tahun 2023, terimaan royalti petroleum kita tersekat-sekat sehingga pelbagai projek yang dirancang dan akan dilaksana oleh kerajaan negeri termasuk program berkait dengan rakyat tidak dapat berjalan dengan sempurna.

"Saya tidak maksudkan mengenai projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia (RMK) dan bukan juga berkenaan projek 'rolling plan' di bawah pelaksanaan Kerajaan Persekutuan kerana ia berjalan seperti biasa," ujar beliau.

Menurut Ahmad Samsuri, kerajaan negeri tidak akan berhenti menuntut tunggakan pembayaran penuh wang royalti minyak negeri termasuk melalui program munajat yang dianjurkan.

"Kita juga bermunajat agar dilembutkan hati pihak di luar sana sehingga tiada lagi gangguan-gangguan terhadap hak-hak dianugerahkan ALLAH SWT kepada negeri dan rakyat Terengganu seperti royalti petroleum yang diterima Terengganu sejak 1978.

"Pesanan kasih sayang daripada saya kepada mereka di luar sana, ingatlah bahawa kita semua bernafas dengan udara milik ALLAH, berpijak atas bumi milik ALLAH, kuasa dianugerahkan oleh ALLAH SWT, sama ada kita ataupun mereka di luar sana adalah milik ALLAH. Akan sampai waktunya kita akan menghadap ALLAH SWT.

"Akan sampai waktu dan ketikanya kita akan ditanya mengenai 'kerja buat' kita sebagai pemimpin sama ada di peringkat negeri, nasional, atau antarabangsa.

"Ketika itu jawablah kita dihadapan ALLAH SWT atas apa jua kecurangan dan kelemahan yang kita laksanakan kepada rakyat yang kita pimpin sama ada di peringkat negeri, negara atau antarabangsa," katanya lagi.

Sebelum ini, Ahmad Samsuri ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Julai lalu berkata, hasil rundingan dibuat dengan kerajaan Persekutuan sebelum ini membolehkan kerajaan negeri mendapatkan kelulusan wang royalti berjumlah RM792.32 juta.

Bagaimanapun, katanya kerajaan negeri masih belum menerima baki royalti petroleum sebanyak RM367.15 juta daripada keseluruhan RM792.32 juta yang diluluskan kerajaan Pusat sebelum ini.

Jelas beliau, berdasarkan anggaran keseluruhan, wang royalti sepatutnya diterima oleh kerajaan negeri pada 2023 dan 2024 masing-masing sebanyak RM1.524 bilion.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri hanya menerima sejumlah RM802.18 juta sahaja sepanjang tahun lalu.