ROM - Menteri Kebudayaan Itali, Gennaro Sangiuliano meletak jawatan susulan dakwaan bahawa beliau melantik kekasihnya sebagai penasihat kerajaan.
Dalam surat peletakan jawatannya, Sangiuliano menyatakan penghargaan kepada Perdana Menteri, Giorgia Meloni atas sokongannya, lapor Agensi Berita Jerman dpa memetik Agensi Berita ANSA pada Jumaat.
Menteri berusia 62 tahun itu dikatakan menjalin hubungan sulit dengan seorang pempengaruh media sosial.
Pada 26 Ogos, Maria Rosaria Boccia, 41, memuat naik ucapan terima kasih kepada Sangiuliano di Instagram kerana melantiknya sebagai penasihat untuk acara-acara besar, termasuk mesyuarat menteri kebudayaan G7 yang dijadualkan akhir September di Pompeii.
Kementerian menafikan pelantikan itu dan Sangiuliano juga menafikan membayar Boccia menggunakan dana kerajaan.
Pempengaruh itu kemudiannya mendakwa menemani menteri itu dalam beberapa lawatan rasmi.
Atas cadangan Meloni, Presiden Sergio Mattarella melantik Alessandro Giuli sebagai menteri kebudayaan yang baharu. Beliau mengangkat sumpah di istana presiden pada malam Jumaat. - Bernama