KOTA BHARU - Kecekalan seorang bapa tunggal berjaya membesarkan enam anak perempuannya seorang diri selepas isteri meninggal dunia akibat barah hati tujuh tahun lalu.
Lebih membanggakan, Maharuddin Mat, 57, yang hanya bekerja kampung mampu memberi didikan sehingga lima anaknya menyambung pelajaran ke pusat pengajian tinggi manakala yang bongsu kini belajar di sebuah sekolah agama di sini.
Maharuddin berkata, pada mulanya dia sukar untuk menyesuaikan diri menjaga anak-anak yang sedang meningkat remaja, namun tetap cekalkan hati demi masa depan mereka.
"Alhamdulillah jerih perih saya terbalas apabila anak-anak sudah boleh berdikari dan saya hanya doakan mereka mendapat kerjaya yang baik," katanya kepada Sinar Harian.
Maharuddin ditemui selepas menerima Anugerah Keluarga Cekal sempena sambutan Hari Keluarga Mawaddah Peringkat Negeri Kelantan pada Sabtu.
Hadiah disampaikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud yang turut merasmikan majlis berkenaan.
Berkongsi kisahnya, Maharuddin memberitahu, kehidupan sukarnya bermula apabila dia perlu melakukan beberapa pekerjaan untuk menyara kesemua anaknya yang masih bersekolah.
"ALLAH SWT menguji saya dengan situasi itu dan mengambil masa agak lama untuk mesra dengan anak-anak yang sebelum ini memang rapat dengan ibu mereka," katanya.
Bagaimanapun, Maharuddin mengakui lama-kelamaan dia dapat mengubah rutin harian dengan mengambil alih tugas memasak serta menjaga keperluan anak-anak dibantu anak sulung, Nurul Husna dan anak kedua, Nurul Hanis yang ketika itu berada di sekolah menengah.
Katanya lagi, anak-anak juga memahami keadaan mereka dan tidak pernah meminta lebih daripada kemampuannya.
Menurutnya, kesemua anak-anaknya dihantar belajar di sekolah agama kerana yakin dapat membantu supaya mereka menjadi lebih kuat dan patuh pada ajaran Islam.
"Saya hanya berusaha dan menyerahkan semua perkara yang kami lakukan kepada ALLAH SWT," katanya.
Dalam pada itu, Maharuddin juga selesa untuk menjaga anak-anak sendirian dan mengambil keputusan tidak berkahwin.
"Saya selalu berpesan kepada anak-anak supaya sentiasa mendoakan saya dan sedekahkan bacaan al-Quran jika saya sudah tiada," katanya.
Kejayaan didikan Maharuddin terbukti apabila Nurul Husna, 24, dan Nurul Hanis, 23, berjaya menyambung pengajian di Universiti Sains Islam Malaysia, masing-masing dalam Sarjana Muda Bahasa Arab serta Komunikasi Sarjana Muda Bahasa Arab Dan Komunikasi.
Anak ketiganya, Nur Alya Shahida, 21, pula sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Syariah) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Tiga lagi anak kesayangannya, Siti Nazirah, 20, merupakan mahasiswa Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Dato Razali Ismail, Kuala Terengganu; Nur Masyitah, 18, pula sedang belajar Asasi Bahasa Arab di Universiti Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu dan yang bongsu, Siti Aisyah kini belajar di sebuah sekolah agama.