Beruang matahari masuk perangkap Perhilitan

Iklan
Beruang matahari jantan yang merosakkan tanaman penduduk di Kampung Sungai Pas, Kuala Krai berjaya ditangkap selepas masuk ke dalam perangkap yang dipasangan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan pada Jumaat.

KUALA KRAI - Seekor beruang matahari yang merosakkan tanaman penduduk di Kampung Sungai Pas di sini berjaya ditangkap selepas masuk ke dalam perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan pada Jumaat.

Beruang jantan tersebut dikatakan berkeliaran di kawasan kebun penduduk sejak 27 Ogos lalu.

Iklan
Iklan

Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, hasil aduan penduduk pihaknya melakukan siasatan dan memasang seunit perangkap beruang di kawasan berkenaan.

"Haiwan tersebut memasuki perangkap sekitar jam 5.30 petang dan hasil pemerhatian awal mendapati beruang matahari terbabit berada dalam keadaan stabil," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Menurut beliau, ia dipercayai dari Hutan Simpan Kekal (HSK) yang berdekatan iaitu HSK Sungai Rek dimana anggaran jarak HSK dengan lokasi tangkapan ialah lima kilometer.

Ujarnya, operasi pemindahan dijalankan pada hari yang sama dan beruang matahari tersebut akan dilepaskan ke Taman Negara Terengganu.

Iklan

Mohamad Hafid memberitahu, orang ramai disarankan supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar serta tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh mendatangkan risiko keselamatan kepada diri sendiri.

"Sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan Perhilitan melalui talian hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my," katanya.