MATTA Fair 2024 terima anugerah Malaysia Book of Records

Iklan
Nigel (kiri) menerima sijil daripada wakil Malaysia Book of Records selepas MATTA Fair diiktiraf sebagai 'Largest International Travel Fair'.

KUALA LUMPUR - Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) 2024 melakar sejarah apabila diiktiraf sebagai 'Largest International Travel Fair' oleh Malaysia Book of Records.

Presiden MATTA, Nigel Wong berkata, ia berikutan jumlah reruai pameran kali ini mencecah 1,590 berbanding 1,416 reruai tahun lalu, dengan melibatkan lapan dewan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Iklan
Iklan

"Penganugerahan ini merupakan salah satu sasaran daripada pihak MATTA kerana ia menjadi motivasi kepada kami untuk melakukan lebih baik pada tahun hadapan.

"Sebelum ini, kami mempunyai rekod tertinggi tetapi tahun ini kami berjaya mengatasi angka berkenaan. Antara sasaran lain adalah untuk menerima lebih 200,000 pengunjung dengan hasil jualan RM250 juta," katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas Majlis Perasmian MATTA Fair 2024 pada Sabtu.

Iklan

Sebelum ini media melaporkan, pameran berkenaan melibatkan 1,590 reruai dan 284 organisasi bermula 6 hingga 8 September di MITEC, di sini.

Dari kiri: Nigel Wong, Abdul Karim Rahman Hamzah dan Christina Liew sewaktu gimik pelancaran ketika Majlis Perasmian MATTA Fair 2024 pada Sabtu.

Acara itu menyediakan pelbagai tawaran hebat dan promosi percutian buat pengunjung serta dibuka kepada orang ramai secara percuma dari jam 10 pagi hingga 9 malam.

Iklan

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata, pihaknya berbesar hati untuk mempamerkan Borneo sebagai destinasi kegemaran Malaysia iaitu Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, Lembaga Pelancongan Sabah gembira untuk mengetuai usaha berkenaan bersama 33 ejen pelancongan dan hotel, artis tempatan serta rakan industri dengan kehadiran 60 reruai di bawah Zon Sabah pada pameran tersebut.

"Semasa MATTA Fair ini, pengunjung yang hadir di reruai Sabah boleh menikmati promosi istimewa termasuk rebat perjalanan sehingga RM150 dalam satu resit apabila mereka membeli mana-mana pakej pelancongan Sabah.

"Insentif ini direka untuk memudahkan pengembara merancang pengembaraan seterusnya ke Sabah dan mengalami semua yang kami tawarkan," jelasnya.

Dalam pada itu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, tahun ini negeri itu menyasarkan empat juta pengunjung iaitu masing-masing dengan dua juta pelancong dari dalam dan luar negeri.

Menurut beliau, pada Julai lalu, pihaknya menerima 2.84 juta pelawat termasuk 1.76 juta pelancong asing dan 1.07 juta domestik.

"Angka-angka ini mencerminkan permintaan yang semakin meningkat untuk Borneo sebagai destinasi pelancongan utama dan kejayaan kempen berterusan kami.

"Dalam jangka panjang, kami menyasarkan untuk mencapai matlamat menerima 12.7 juta pelancong sekali gus menjana RM50 bilion sebagai pulangan ekonomi menjelang 2035," tambahnya.