SHAH ALAM - Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir menegaskan beliau tidak akan kembali ke pangkuan UMNO walaupun Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak lagi mengetuai ‘parti keramat’ itu.
Menurutnya, perkara yang mengukuhkan keputusan untuk tidak kembali adalah wujudnya perbincangan mengenai pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Persidangan Agung UMNO (PAU) 2024 lalu.
"Saya tidak akan sesekali kembali ke pangkuan UMNO. Sekali lagi saya ulang, di mana ada UMNO, di situ Pejuang tiada,” katanya ketika Sambutan Ulang Tahun Pejuang ketiga di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini pada Sabtu.
Susulan usaha untuk mendapatkan pengampunan terhadap Najib, Mukhriz turut menyifatkan bahawa UMNO tidak pernah berubah.
Tambahnya, UMNO bukan lagi parti pilihan orang Melayu kerana sokongan terhadapnya kini menjunam.
Ketika ditanya mengenai hala tuju parti, Mukhriz berkata, Pejuang merupakan entiti baharu dalam politik dan perlu bergabung dengan parti lain jika mahu memberi impak dalam arena itu.
"Kita (Pejuang) tidak kekok untuk berbincang dengan pihak-pihak ini (parti-parti politik lain) bagi mencari satu titik keperluan.
"Walaupun ada sedikit perbezaan (matlamat parti politik) asalkan kita dapat tawarkan pakej yang diyakini rakyat,” ujarnya.