Tak sempat seludup 400kg daun ketum ikut jalan laut

Iklan
Anggota Maritim memeriksa bungkusan mengandungi daun ketum yang dilonggokkan atas jeti persendirian di muara Kuala Kedah pada malam Jumaat. Foto Maritim Malaysia

KUALA KEDAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah merampas 40 bungkusan plastik berwarna hitam dipercayai mengandungi daun ketum di muara Kuala Kedah, pada malam Jumaat.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti ishak berkata, rampasan dibuat pada jam 11.30 malam hasil maklumat risikan berkaitan sindiket tempatan yang masih bergiat aktif melakukan aktiviti menyeludup keluar daun ketum ke negara jiran.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebuah bot ronda Maritim Malaysia telah diatur gerak untuk melakukan pengesanan dan serbuan menerusi OP AMAN di sekitar muara Kuala Kedah.

"Semasa rondaan, anggota bot telah mengesan beberapa bungkusan plastik hitam dilonggokkan di atas jeti persendirian dalam keadaan mencurigakan dan dipercayai menunggu masa sesuai untuk diambil oleh bot bagi tujuan diseludup melalui jalan laut.

Iklan
Bungkusan mengandungi daun ketum yang dilonggokkan atas jeti persendirian di muara Kuala Kedah pada malam Jumaat. Foto Maritim Malaysia

"Pemeriksaan lanjut di lokasi menemukan 40 bungkusan plastik hitam yang mengandungi bungkusan-bungkusan kecil disyaki daun ketum dengan anggaran berat 400 kilogram bernilai RM4,000 mengikut anggaran nilai semasa di Malaysia iaitu RM10 bagi sekilogram," katanya pada Sabtu.

Jelas Noor Azreyanti, semua bungkusan plastik hitam berisi daun ketum itu telah dirampas dan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

Iklan

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.

Jika disabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya.

"Hasil siasatan mendapati, modus operandi penyeludupan keluar daun ketum ke negara jiran masih berlaku namun tidak serancak sebelum ini, berikutan negara jiran telah membenarkan penanaman pokok ketum di sana," ujarnya.