ANKARA - Tentera Israel membunuh 61 lagi rakyat Palestin dalam serangan ke atas Semenanjung Gaza, menjadikan jumlah keseluruhan kematian mencecah 40,939 sejak 7 Oktober tahun lepas, lapor Agensi Anadolu (AA), memetik Kementerian Kesihatan Palestin di wilayah itu pada Sabtu.
Kementerian itu juga melaporkan 94,616 orang cedera dalam serangan yang berterusan.
"Tentera Israel membunuh 61 orang dan mencederakan 162 yang lain dalam empat 'pembunuhan beramai-ramai' terhadap keluarga dalam tempoh 48 jam lalu," menurut kenyataan itu.
"Ramai orang masih terperangkap di bawah runtuhan dan di jalan raya kerana pasukan penyelamat tidak dapat menghampiri mereka," tambahnya.
Israel meneruskan serangan kejamnya di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober, walaupun resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menggesa gencatan senjata segera.
Sekatan berterusan di Gaza menyebabkan kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang teruk, menyaksikan sebahagian besar infrastruktur di wilayah itu musnah.
Israel menghadapi tuduhan pembunuhan genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, yang telah mengarahkan penghentian operasi ketenteraan di bandar selatan Rafah, yang lebih satu juta rakyat Palestin mencari perlindungan sebelum kawasan itu diserang pada 6 Mei. - Bernama/Anadolu