[VIDEO] Hidap lima penyakit kronik, ibu sumber kekuatan Iwan

Iklan

SHAH ALAM - Berat ujian yang ditanggung seorang pemuda asal Kok Lanas, Kota Bharu apabila disahkan menghidap lima penyakit kronik.

Menurut Muhd Idzwan Syafiq Mohd Johari, 32, kehidupannya berubahselepas disahkan menghidap penyakit gout, masalah tulang belakang, darah beku dalam paru-paru, ligamen lutut terputus dan kegagalan buah pinggang tahap akhir.

Iklan
Iklan
Iwan memang bergantung sepenuhnya bantuan daripada ibunya, Che Piah dan tidak pernah berputus asa untuk kembali aktif seperti sedia kala.

Muhd Idzwan Syafiq berkata, dia diserang gout lima tahun lalu, namun kesakitan yang dialami tidak menyerang sendi, sebaliknya lapisan bawah kulit membuatkan tubuhnya meninggalkan bekas lebam atau parut hitam.

Mesra dipanggil Iwan, dia berkata, penderitaannya tidak terhenti di situ sahaja apabila diuji dengan masalah tulang belakang akibat tergelincir jatuh tangga dan kejadian tersebut membuatkannya terpaksa menjalani pembedahan pasang dua batang rod besi beserta 16 skru.

Iklan
Gambar kiri: Keadaan tulang belakang Iwan selepas melalui beberapa operasi tulang belakang. Gambar kanan: Ligamen PCL Iwan yang terputus. Sumber: Tiktok @idzwanjohari91 (Senyuman OKU)

"Sekarang pun ada dua skru yang longgar, saya tak boleh berjalan dan berkerusi roda. Saya perlu buat pembedahan tulang belakang kali ke-5 tapi tunda dahulu kerana bimbang risikonya tinggi.

"Saya juga ada darah beku dalam paru-paru disebabkan pernah kena jangkitan Covid-19 penghujung 2022 sehinggakan muntah darah. Batuk terlalu kuat dan saya perlu makan ubat cair darah.

Iklan

"Rentetan daripada itu, Posterior Cruciate Ligament (PCL) saya terputus, tahan sakit kerana kaki kejang. Doktor suruh bius tapi saya tak nak. Jadi, saya terpaksa ambil keputusan patahkan kaki," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Iwan yang pernah menuntut di Politeknik Kota Bharu (PKB) dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal memaklumkan, masalah kegagalan buah pinggang tahap akhir adalah penyakit yang baharu sahaja diketahui Oktober tahun lalu.

Kondisi tangan Iwan sebelum ini akibat rembesan asid urik berlebihan hingga meninggalkan kesan lebam dan parut hitam.

Tambahnya, gout, ubat tahan sakit terlalu banyak dalam badan akibat tulang belakang dan bius antara faktor penyumbang kepada kegagalan buah pinggang itu sehinggakan dia yang asalnya memiliki berat 180 kilogram (kg) susut drastik kepada kira-kira 55 kg sahaja.

Ditanya mengenai sumber kekuatan untuk kekal positif, anak bongsu dari empat adik-beradik tersebut memaklumkan, dia memang bergantung sepenuhnya dengan bantuan ibu, Che Piah Che Seman, 67, dan tidak pernah berputus asa untuk kembali aktif seperti sedia kala.

"Semangat Umi yang membuatkan saya kuat, positif dan sentiasa senyum. Umi pernah kata walau macam mana pun orang luar hina saya, dia selalu mendoakan kesihatan serta takkan tinggalkan saya.

"Saya kena semangat sebab walaupun ujian datang berganti-ganti, masih ada bidadari syurga yang ALLAH SWT hadiahkan pada saya.

"Cuma saya tak tahu berapa lama dapat bertahan, mungkin satu atau dua tahun sebab doktor pesan bila-bila sahaja boleh berlaku sesuatu. Selagi hidup, saya cuba berbakti kepada keluarga dan kongsi semangat ini kepada orang ramai," ujarnya lagi.

Iwan pernah mencecah 180 kilogram (kg), namun susut drastik kepada kira-kira 55 kg sahaja disebabkan penyakit kronik yang ditanggungnya.

Bagi yang ingin menghulurkan wang untuk membantu meringankan beban, boleh berbuat demikian di 10302000137960 (RHB) Muhd Idzwan Syafiq Mohd Johari.