GANDINGAN pemain import dan tempatan berpengalaman menjadi taruhan Terengganu Turtles apabila menyingkap saingan Liga Sepak Takraw (STL) Premier 2024 yang bermula pada 11 September ini.
Malah, Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSNT), Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman menyasarkan Terengganu Turtles bermula dengan mentaliti juara di sirkit Grand Prix (GP) Terengganu.
Selain itu Tengku Zaihan juga menyasarkan pasukan pantai timur tersebut berada dalam kelompok empat pasukan terbaik di sirkit GP Selangor, GP Perak, GP Penang dan GP Johor.
"Alhamdulillah, Terengganu Turtles dapat beraksi di saingan STL Premier pada musim ini selepas lima tahun berada di Divisyen Satu.
"Kita nak kembalikan pasukan ke kelompok empat terbaik liga. Sasaran kita untuk jadi juara di sirkit GP Terengganu pada 24 hingga 28 September.
"Insya-ALLAH kelebihan sebagai tuan rumah akan dimanfaatkan mungkin pada saingan musim ini,” katanya yang turut mengharapkan sokongan padu penyokong-penyokong Turtles di Stadium Tertutup Gong Badak.
Mengulas mengenai pencabar musim ini, Tengku Zaihan menjangkakan saingan dari penyandang juara tahun lalu, Perak Bison dan Kuala Lumpur Thunder yang turut diperkuatkan pemain-pemain kebangsaan.
Pada masa sama, katanya Terengganu Turtles tidak akan memandang mudah cabaran pasukan seperti KPT-Masum Knights,” kata Tengku Zaihan.
INFO
STL 2024
Terengganu Turtles
1. Teerapat Promnin
2. Jatuporn Taluengjit
3. Sutthikirat Pansaenkaew
4. Muhammad Zulkifli Abd Razak
5.Alif Mursyid Rusli
6. Muhammad Khairul Aman Mohd Rosdi
7. Muhamad Zulkusni Basri
8. Muhammad Jazimin Zainal Abidin