KLUANG - Banjir kilat bukanlah lagi masalah asing bagi penduduk di Taman Ilham setiap kali hujan lebat melanda kawasan itu.
Terletak berdekatan pusat bandar Kluang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, kediaman penduduk di taman perumahan itu akan digenangi air sekiranya hujan lebat selama hampir sejam.
Tinjauan Sinar Ahad mendapati, kedudukan rumah penduduk berdekatan tali air utama yang mengalir ke Sungai Mengkibol menjadi punca kawasan itu mudah banjir terutama jika airnya melimpah.
Wakil penduduk, Mohd Izuan Adnan berkata, aliran air yang deras dari kawasan Gunung Lambak menyebabkan tali air itu tidak dapat lagi menampung isi padu air yang tinggi terutama ketika hujan.
"Sistem aliran di hujung tali air ini yang agak sempit menyebabkan arus air tersekat seterusnya melimpah ke taman perumahan dan menyebabkan banjir.
"Kejadian banjir pasti akan berlaku setiap kali tiba musim tengkujuh bermula penghujung tahun sehingga awal tahun,” katanya ketika ditemui.
Mohd Izuan berkata, akibatnya penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) berdekatan sama ada di dewan mahupun sekolah.
"Terdapat hampir 400 buah rumah penduduk di sini. Setiap kali banjir kilat, penduduk terpaksa menanggung kerugian disebabkan kerosakan harta benda akibat ditenggelami air.
"Keadaan banjir juga dilihat semakin bertambah buruk. Sebelum ini, paras ketinggian air cuma sekitar 0.2 meter tetapi banjir pada Disember tahun lalu, paras air hampir cecah 0.5 meter,” katanya.
Menurut Mohd Izuan, penduduk bimbang setiap kali hujan di kawasan ini menyebabkan urusan harian mereka juga terjejas.
"Sebelum ini ada perancangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terdahulu, Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah untuk melaksanakan kerja-kerja mendalamkan tali air ini selain membina tebing.
"Oleh itu, penduduk berharap perancangan itu dapat diteruskan demi memastikan penduduk di sini tidak lagi berhadapan masalah banjir yang tidak selesai ini.
"Saya harap peruntukkan dapat disediakan agar kekerapan banjir di Taman Ilham dapat dikurangkan dan seterusnya menyelesaikan isu banjir,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohamad Rahman 57, pula berkata banjir yang berlaku menyebabkan kerugian kerana perkakasan rumah seperti perabot rosak akibat terkena air termasuk perabot dan barangan elektrik selain pakaian.
Ujarnya, sampai bila penduduk perlu berpindah setiap kali musim hujan.
"Kami harap wakil rakyat dipilih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota kelak dapat meninjau masalah penduduk Taman Ilham yang mahu banjir kilat di sini diselesaikan segera.
"Antara tindakan yang boleh dilakukan adalah dengan membina kolam takungan di bahagian atas tali air ini supaya dapat melambatkan kemasukan aliran air atau membetulkan semula saliran di bahagian bawahnya,” katanya.