TEMASYA Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) Universiti Utara Malaysia (UUM) 2024 menjadi medan pencarian dan juga persediaan atlet pelapis di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) untuk bersaing di temasya sukan yang lebih besar dan berprestij.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud menggesa atlet di setiap IPT agar berusaha dengan lebih gigih dan menggunakan platform SUKIPT edisi keenam itu sebagai persediaan melangkah ke temasya lebih besar seperti Sukan Universiti Asean (AUG) dan Sukan Universiti Dunia (UNIVERSIADE).
Menurutnya, beliau yakin 74 kontinjen yang bertanding di bumi Sintok sehingga 14 September ini melibatkan lebih 6,000 atlet dan 1,500 orang pegawai bakal menjanjikan semangat kesukanan yang tinggi.
"Sukan Olimpik di Paris telah pun melabuhkan tirai pada 11 Ogos yang lalu, dan saya turut mengikuti perkembangan dari semasa ke semasa atlet-atlet IPT kita.
"Justeru, ini masanya untuk anda semua para atlet berusaha dengan lebih gigih lagi dan kita pastikan bilangan atlet IPT akan bertambah untuk ke temasya-temasya sukan antarabangsa,” katanya semasa berucap merasmikan SUKIPT UUM 2024 di Sintok pada Sabtu malam.
Mustapha berkata lagi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa relevan sebagai salah satu ejen yang turut membantu dalam mempertingkatkan pembangunan mutu sukan negara
Menurutnya, semua atlet IPT juga digesa agar menjadikan kejayaan-kejayaan atlet cemerlang yang cemerlang di SUKIPT sebagai satu dorongan dan pembakar semangat untuk mencipta kecemerlangan di SUKIPT 2024 kali ini.
"Sebanyak 46 rekod kejohanan yang telah dipecahkan di SUKIPT 2022, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Jadi, saya ingin mencabar para atlet yang bertanding dalam SUKIPT 2024 untuk mencatatkan rekod kebangsaan.
"Tidak kiralah dalam apa jenis acara pun. Mereka yang berjaya kita akan bagi secara bersama wang tunai berjumlah RM20,000,” ujarnya.
Penyertaan kontinjen IPT pada SUKIPT kali ini melibatkan 20 universiti awam, 46 universiti swasta, satu politeknik, satu kolej komuniti dan lima institut pendidikan guru (IPG).