KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjelaskan bukan hanya beliau terpaksa memanjat pagar dalam insiden provokasi oleh sekumpulan individu pada perjumpaan sayap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu pada Jumaat lalu.
Beliau berkata, tindakan itu turut diikuti oleh Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen yang terpaksa menggunakan laluan lain bagi mengelakkan berlaku pertembungan dengan kumpulan berkenaan.
Katanya, beliau bertindak demikian juga setelah mendapat nasihat daripada pihak polis dan juga penganjur.
"Kumpulan itu mendesak untuk saya meminta maaf terhadap kerabat diraja Johor dan mahu merakam permohonan maaf tersebut. Saya kata, apa kesalahan yang saya buat untuk meminta maaf kerana saya hormat kerabat diraja Johor dan institusi diraja di negara ini. Namun mereka masih mendesak untuk saya memohon maaf.
"Jadi saya terpaksa menggunakan jalan lain bukan saya seorang tetapi turut sama adalah Mazlan dan Rafiq,” katanya sidang media selepas menghadiri majlis Luncheon Talk sempena Program Malaysia Future Leader School Tier 3 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas berhubung tindakan beliau dalam insiden tersebut sehingga terpaksa memanjat pagar untuk melepaskan diri.
Dalam pada itu, Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan, mengalu-alukan laporan polis yang dibuat Pemuda UMNO ke atas dirinya kerana menuduh mereka sebagai dalang dalam insiden itu.
Katanya, dakwaan yang dibuat adalah berdasarkan taklimat daripada pihak polis selepas insiden yang berlaku.
ARTIKEL BERKAITAN: Dikepung 'gengster', Syed Saddiq terpaksa lari panjat pagar
Pemuda UMNO akan saman Syed Saddiq: Asyraf Wajdi
'Kumpulan samseng serang Syed Saddiq bukan ahli Armada'
"Saya dimaklumkan mereka (Pemuda UMNO) juga akan saman. Jadi saya alu-alukan. Saya serahkan kepada pihak polis untuk menyiasat sepenuhnya," katanya.
Syed Saddiq dalam pada itu menafikan dakwaan kumpulan yang mengepongnya adalah individu yang gagal mendapat bayaran sebanyak RM500 kerana menghadiri majlis berkenaan.
Beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan saman terhadap pihak yang bertanggungjawab menyebarkan berita palsu.
"Kalau ada bukti boleh keluarkan. Yang kata tentang tak dapat bayaran itu ini, jangan gunakan akaun palsu. Saya akan saman terus. Kita tak boleh bertoleransi dengan berita palsu," katanya.