Paralimpik Paris: Latif Romly bawa pulang pingat perak

Iklan
Jaguh olahraga para negara, Datuk Abdul Latif Romly memperagakan pingat perak yang dimenangi dalam acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) pada Sukan Paralimpik Paris 2024 di Stade de France pada Sabtu.

IMPIAN jaguh olahraga para negara, Datuk Abdul Latif Romly untuk melengkapkan hatrik emas acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) tidak kesampaian selepas membawa pulang pingat perak di Sukan Paralimpik Paris 2024 di sini pada Sabtu.

Lompatan akhir Matvei Iakushev yang bertanding atas tiket Atlet Paralimpik Neutral dengan catatan 7.51 meter (m) mengecewakan Latif Romly yang sebelum itu seakan mempertahankan emasnya dengan catatan terbaik 7.45m pada percubaan ketiga.

Iklan
Iklan

Membuka langkahnya di Stade de France, Latif Romly sedikit ketinggalan pada percubaan pertamanya apabila melakukan lompatan sejauh 7.22m di belakang Hassan Dawshi dari Arab Saudi (7.27m).

Atlet dari Perlis itu kemudian berjaya memimpin kedudukan pada percubaan kedua dengan jarak sejauh 7.43m bagi mengatasi catatan musim terbaiknya 7.30m ketika muncul juara dunia di Kobe, Jepun, Mei lepas dan terus memperbaiki catatan pada lompatan ketiga dengan 7.45m.

Iklan

Bagaimanapun, atlet berusia 27 tahun itu gagal mengekalkan rentaknya apabila baki tiga percubaan akhirnya dibatalkan sekali gus menyaksikan Iakushev merampas emas dimenanginya sejak Rio 2016 dan Tokyo 2020.

Atlet Colombia, Jhon Sebastian Obando Asprilla melengkapkan kedudukan podium dengan gangsa menerusi lompatan terbaik 7.38m yang hadir pada percubaan keduanya.

Iklan

Pencapaian Latif Romly pada Sabtu menyaksikan Malaysia menambah satu lagi perak selepas rakan sepasukannya, Muhammad Ziyad Zolkefli menghadiahkan perak dalam acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual).

Malaysia sudah memperoleh dua emas menerusi jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou bagi acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) dan atlet powerlifting Bonnie Bunyau Gustin bagi kategori lelaki 72 kilogram (kg).

Seorang lagi atlet olahraga para negara Eddy Bernard menyumbang gangsa dalam acara 100m lelaki T44 (kecacatan fizikal).

Kecederaan otot perut jejas emas hatrik Latif Romly

Dalam pada itu, Abdul Latif mendedahkan kecederaan otot perut di bahagian kiri sejak Rabu lepas menjejaskan momentumnya untuk memburu emas hatrik acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) pada Sukan Paralimpik 2024.

Latif Romly terpaksa berpuas hati dengan perak menerusi catatan 7.45 meter (m) pada percubaan ketiga manakala lompatan terakhir Matvei Iakushev sejauh 7.51m menyaksikan Atlet Paralimpik Neutral itu merampas emas darinya yang diraih sejak Rio 2016 diikuti Tokyo 2020.

Katanya, beliau mula mengesan kecederaan tersebut sewaktu menjalani latihan di sini sehingga mengakibatkannya sukar bernafas sewaktu membuat lompatan sepanjang aksi di Stade de France pada Sabtu.

"Kalah menang adat pertandingan, apa-apa boleh berlaku walaupun dalam lompatan terakhir sekali pun, saya redha dengan keputusan hari ini.

"Seminggu sebelum pertandingan memang saya yakin, dalam latihan pun pernah buat 7.60m ke atas namun Rabu lepas otot perut kiri tertarik, memang sangat sakit,” katanya sejurus selepas upacara penyampaian pingat.

Atlet berusia 27 tahun itu berkata, kecederaan itu sedikit sebanyak menjejaskan keyakinannya selepas menyedari Iakushev berkemampuan memberi tentangan sengit kepadanya di Paris 2024 selepas lawannya menduduki ranking pertama tahun ini.

Iakushev sebelum ini mempunyai catatan musim terbaik dengan melakukan 7.41m pada satu kejohanan di Yekaterinburg, Rusia pada Jun manakala Latif Romly pula berada di tempat kedua dengan catatan 7.30m ketika merangkul emas Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, Jepun, Mei lepas.

Selepas berjaya melengkapkan tiga lompatan awal, prestasi Latif Romly sedikit terjejas dengan tiga percubaan akhirnya dibatalkan.

Juara dunia empat kali itu bagaimanapun yakin lompatan kelimanya melangkaui 7.50m dan ke atas sekiranya tidak dibatalkan.

Dalam pada itu, pemegang rekod dunia sejauh 7.64m di Sukan Para Asia 2018 di Jakarta, tekad untuk kembali bangkit merampas semula emas dari Iakushev pada Sukan Paralimpik 2028 di Los Angeles.

Beliau pada masa sama juga memaklumkan akan melakukan rawatan susulan kecederaan tersebut dengan Institut Sukan Negara setibanya di tanah air.

Biarpun impian emasnya diragut, Latif Romly tetap mahu mendedikasikan pingat peraknya kepada ahli keluarga termasuk isteri kesayangannya Datin Nurul Nabila Farhana Musaidi yang sanggup turun ke Paris 2024 bagi menyokongnya.

Paris 2024: Malaysia belum capai sasaran, peluang Yee Khie tambah pingat

Abdul Latif Romly beraksi dalam acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) pada Sukan Paralimpik Paris 2024 di Stade de France pada Sabtu. Foto Bernama

Dalam pada itu, pencapaian Abdul Latif yang membawa pulang perak lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) pada Sukan Paralimpik Paris 2024 pastinya sesuatu yang pahit untuk ditelan kontinjen negara.

Keputusan tersebut menyaksikan kontinjen negara gagal menepati sasaran empat emas dilaungkan sebelum ini biarpun atlet powerlifting negara, Jong Yee Khie muncul atlet terakhir negara berpeluang menambah koleksi pingat dalam kategori lelaki 107 kilogram (kg) di Porte de La Chapelle Arena sebelum Paris 2024 melabuhkan tirainya.

Lebih memeritkan, saingan di Stade de France menyaksikan pingat emas bagaikan sudah berada dalam genggaman Latif Romly sebelum dipintas saat akhir oleh Matvei Iakushev yang bertanding atas tiket Atlet Paralimpik Neutral menerusi catatan 7.51 meter (m) pada percubaan terakhir.

Pemenang emas Rio 2016 dan Tokyo 2020 Latif Romly terpaksa berpuas hati dengan pingat perak menerusi catatan terbaik 7.45m yang juga rekod musim terbaiknya pada percubaan ketiga manakala baki tiga percubaan akhirnya dibatalkan.

Catatan dilakukan atlet dari Perlis itu juga agak jauh dengan rekod Paralimpik ketika merangkul emas sulung di Rio 2016 (7.60m) apatah lagi dengan rekod dunianya (7.64m) pada Sukan Para Asia 2018 di Indonesia.

Sementara itu, Yee Khie berdepan cabaran hebat kembali ke podium selepas merangkul perak di Tokyo 2020 dengan beliau kini berkedudukan kelima terbaik dunia dengan jumlah angkatan terbaik 230kg.

Jurang jumlah angkatannya juga terlalu jauh dengan pilihan utama dari Iran, Aliakbar Gharibhashi yang turun ke Paris 2024 berbekalkan angkatan terbaik dan rekod dunia kategori tersebut iaitu 254kg pada Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Para Fazza di Dubai pada 2022.

Rakan sepasukannya Nicodemus Manggoi Moses tidak berjaya menjelmakan pingat buat Malaysia apabila berada di kedudukan ketujuh bagi acara lelaki 97kg.

Atlet dari Kuching itu hanya melakukan angkatan 210kg pada percubaan pertama manakala dua lagi percubaannya dibatalkan.

Dalam pada itu, pelumba berbasikal para negara, Muhammad Adi Raimie Amizazahan mencapai sasaran ditetapkan dengan berada dalam kelompok 20 pelumba teratas bagi perlumbaan lebuh raya lelaki C1-3 (kecacatan fizikal).

Pelumba berusia 23 tahun yang membuat penampilan pertama di pentas Paralimpik menamatkan perlumbaan sejauh 71 kilometer di Clichy-sous-bois dengan menduduki tangga ke-16 dengan catatan masa 1 jam 56 minit 23 saat (s).

Seorang lagi wakil negara, Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin pula mengakhiri cabarannya di sini dengan berada di tempat ke-26 dengan catatan masa 2:08:46s. - Bernama