PETALING JAYA -"Biarkan orang Islam yang keluarkan kenyataan mengenai hal ehwal dan isu orang Islam, yang bukan Islam janganlah mengeruhkan lagi keadaan.”
Demikian kata Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berhubung kenyataan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok yang mempertikaikan sijil halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hanya akan mengelirukan orang ramai.
"Sijil halal Jakim bukan sahaja mengandungi bahan makanan halal tetapi penyediaan makan harus bersih, harus ada proses dalaman yang setiap hari proses dibuat adalah sama.
"Jadi saya nak tanya umat Islam, kalau kedai makan tu menyajikan makanan halal tapi makanan itu dicuci atas lantai, kita sebagai Muslim nak makan atau tidak dan siapa hendak bagi jaminan itu?” katanya kepada Sinar Ahad.
Jelasnya, tugas kerajaan adalah untuk memberi jaminan kepada masyarakat.
"Jadi kepada pengusaha-pengusaha Islam, Muslim yang tak mahu ambil sijil halal Jakim terpulang kepada mereka,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia itu berkata, sijil halal Jakim bertujuan untuk tidak mengelirukan umat Islam dengan logo-logo separa halal yang akan menyulitkan lagi keadaan.
"Kita tak boleh tambah lagi kekeliruan. Rakyat sekarang hendak tahu mana yang boleh. Kerajaan kata begini, jadi jangan keruhkan lagi masyarakat kerana jawapan yang betul itu datang daripada orang Islam sendiri,” tegasnya.
Mohammad Fahmi berkata, kerajaan Persekutuan sedang meneliti untuk mengurangkan tempoh masa sebagai pemudah cara.
"Saya rasa ada formula yang akan dibentangkan sebelum hujung tahun ini untuk memudahkan lagi perusahaan kecil sederhana dapatkan sijil halal,” jelasnya.
Beliau berkata, pihaknya bersetuju dengan sijil halal Jakim diterima pakai di Selangor.
"Kalau ada isu kelewatan (permohonan) itu harus diperkemas dan dipermudah agar semua peniaga kedai makan boleh ambil,” katanya.