SHAH ALAM - Menteri Penyelidikan Sains dan Teknologi Sarawak, Michael Manyin Jawong menyifatkan pelaksanaan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) seperti diusulkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menjadi masalah besar buat negeri itu.
Menurutnya, ini kerana pentadbiran Sarawak telah mula melaksanakan kembali dasar itu dalam sesi persekolahan tahun ini.
"Ya, kita sudah menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajar Sains dan Matematik berkuat kuasa bulan ini.
"Jadi untuk kami (Sarawak) tiada isu. Saya ragu sama ada dia (Dr Mahathir Mohamad) boleh meyakinkan ibu bapa (negeri lain) seperti yang dia lakukan pada masa lalu," katanya seperti dipetik oleh The Borneo Post kelmarin.
Kenyataan Michael itu merujuk kepada pengumuman Dr Mahathir pada Jumaat lalu bahawa PPSMI akan dikembalikan dalam sistem pendidikan negara ini.
Melalui satu rakaman video mesyuarat bersama Kumpulan Pengurusan Kementerian Pendidikan itu, Dr Mahathir dilaporkan berkata, kedua-dua mata pelajaran itu berbeza dengan yang lain kerana ia bukan bidang ilmu yang diolah dari negara ini dan bukan seperti Sejarah dan Geografi.
Dalam masa sama, Dr Mahathir yang juga pemangku Menteri Pendidikan berkata, rakyat mahu melihat perubahan dalam polisi pendidikan negara dan beliau mempunyai beberapa idea untuk dilaksanakan demi pembangunan pendidikan negara.
Mengulas lanjut Michael berkata, sebanyak RM11 juta telah dibelanjakan kerajaan Sarawak bagi membiayai program yang bermula 1 Januari lalu.
Perkara itu dijelaskan Michael dalam kenyataan pada November tahun lalu.
"Peruntukan khusus itu diberikan bagi pelaksanaan PPSMI untuk murid tahun satu yang bermula awal Januari lalu," katanya.
Michael berkata, Jabatan Pendidikan Sarawak bersama kementerian yang diterajuinya juga turut memantau program pengajaran dua mata pelajaran tersebut dalam bahasa Inggeris untuk enam bulan pertama.