SERAMAI 2,000 peserta dari Thailand dan Malaysia menyertai program larian rentas sempadan, International Cross-Country (Thai - Malaysia) 'Sadao Half Marathon Through Thailand and Malaysia Border Crossing Points' pada Ahad.
Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Negeri Kedah, Zainol Abidin berkata, program tersebut merupakan anjuran Club Runner of Thailand bersama PIBKS.
Katanya, daripada 2,000 peserta terbabit, 200 orang adalah dari Malaysia.
"Larian ini bermula dari Songkhla Industrial Estate, Samakkham Sub-district, Sadao, Thailand kemudian melalui sempadan Malaysia iaitu sebelum kem Batalion Ke-5 Rejimen Sempadan (RS) Kem Bukit Kayu Hitam sebelum berakhir di Sadao semula," katanya.
Menurutnya, terdapat tiga kategori dipertandingkan iaitu 5 kilometer (km), 10 km dan 21 km.
"Saya lihat program ini memberi saingan sihat kepada para pelari antara dua negara, mereka dapat bersaing dari segi mental dan fizikal untuk sampai ke garisan penamat," katanya.
Zainol Abidin berkata, objektif program tersebut adalah untuk mengeratkan hubungan baik antara dua negara dari aspek pendidikan dan budaya.
"Program ini juga mendapat kerjasama baik dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kubang Pasu. Selain itu, kita turut dibantu oleh anggota tentera dari Kem 5RS dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
"Untuk kali ini pihak Thailand yang menjadi tuan rumah mungkin untuk masa ke depan nanti kita pula boleh jadi tuan rumah," ujarnya.
Tambah Zainol Abidin, beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua agensi sempadan seperti pihak polis, imigresen, tentera dan lain-lain.
"Program ini tidak akan berjaya tanpa kerjasama baik dari mereka. Saya harap hubungan baik ini akan kekal berterusan supaya lebih banyak program antara dua negara ini dapat dijayakan di masa hadapan," katanya.