Pandangan Teresa wakili kebimbangan masyarakat bukan Islam - Anthony

Iklan
Anthony bercakap kepada media dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Biasa DAP Perak ke-20 di Pusat Konvensyen Ipoh di sini pada Ahad. Foto Sinar Harian- NORMAWATI ADNAN

IPOH - [DIKEMAS KINI] DAP menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung isu pensijilan halal sebagai mewakili kebimbangan masyarakat bukan Islam.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, pandangan diberikan itu adalah maklum balas daripada pemilik restoran-restoran bukan Islam yang bimbang bahawa perniagaan mereka juga akan diwajibkan mendapatkan pensijilan halal.

Iklan
Iklan

"Sebagai ahli Parlimen, beliau memang sudah ada tanggungjawab untuk menyatakan pandangan yang mungkin diperolehi daripada pengundi-pengundinya.

"Itu sebabnya beliau menyatakan kebimbangan sedemikian. Apa yang dilontarkan itu satu kebimbangan daripada masyarakat, khususnya masyarakat bukan Islam," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Biasa DAP Perak kali ke-20 di Pusat Konvensyen Ipoh di sini pada Ahad.

Iklan

Jumaat lalu, Teresa dipetik berkata, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil selain akan menambahkan kos pentadbiran.

Kenyataan beliau yang juga Naib Presiden DAP itu mendapat kecaman daripada pelbagai pihak antaranya pemimpin UMNO, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Dewan Perniagaan Melayu Malaysia.

Iklan

Mengulas lanjut, Anthony berkata, isu tersebut tidak sewajarnya dipolemikkan apatah lagi cadangan mewajibkan pensijilan halal belumpun diangkat untuk pertimbangan Jemaah Menteri.

Katanya, perkara tersebut pastinya melibatkan pindaan kepada beberapa undang-undang sebaik berada di peringkat keputusan kelak.

"Biasalah dalam negara kita ini, banyak isu-isu dipolemikkan. Ini mungkin daripada pemimpin-pemimpin yang bukan duduk dalam kerajaan.

"Sedangkan kita yang berada dalam kerajaan sudah tentu nak bincang dan selesaikan dalam peringkat kerajaan melalui Jemaah Menteri," katanya.

Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na'im Mokhtar berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan babi dan alkohol memiliki sijil halal.