KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diminta tidak meneruskan arahan mewajibkan semua penyedia perkhidmatan Internet (ISP) di Malaysia melakukan penghalaan semula Sistem Nama Domain (DNS).
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, sehubungan itu, SKMM perlu meneruskan siri libat urus bersama semua pihak berkepentingan untuk memperoleh pandangan, cadangan dan saranan, memastikan objektif Internet yang lebih selamat dapat dicapai bersama.
Beliau berkata, isu jenayah dalam talian termasuk akses ke laman web perjudian, persundalan, pornografi amat membimbangkan dan memerlukan usaha penyelesaian yang menyeluruh.
"Kerajaan tidak akan berkompromi dalam hal ini, demi menjamin keselamatan dalam talian buat rakyat Malaysia khususnya kanak-kanak dan keluarga.
"Namun, mengambil kira pandangan yang disampaikan melalui siri libat urus SKMM serta dari khalayak umum, saya telah meminta SKMM agak tidak meneruskan pelaksanaan kaedah penghalaan pengurusan Domain Name System (DNS),” katanya dalam kenyataan di platform X beliau pada Ahad.
Pada Sabtu, Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian SKMM, Datuk Dr Mohamed Sulaiman Sultan Suhaibuddeen berkata, arahan terhadap penyedia perkhidmatan Internet (ISP) untuk mengalihkan trafik perkhidmatan nama domain (DNS) yang menggunakan pelayan DNS pihak ketiga kembali ke pelayan DNS mereka sendiri tidak akan menjejaskan, mengganggu atau menyekat pengguna daripada melayari laman web yang sah.
Beliau berkata, laman web yang terkesan dengan tindakan itu ialah laman web yang menyalahi undang-undang Malaysia, menyebabkan sekatan dikenakan supaya tidak dapat diakses rakyat Malaysia.
"Laman web yang tidak mempunyai kandungan yang berbahaya, tidak mempunyai sebarang isu, masih boleh diakses seperti biasa. Pelaksanaan arahan ini bertujuan melindungi pengguna daripada akses kepada laman web yang memiliki kandungan dalam talian berbahaya," katanya pada sesi penerangan isu sekatan DNS di Cyberjaya, pada Sabtu. - Bernama