Warga emas maut dilanggar ketika melintas jalan

Iklan
Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian selepas terjatuh dan tidak sedarkan diri.

TUMPAT - Seorang wanita warga emas maut dipercayai dilanggar sebuah motosikal semasa mahu melintas jalan di Jalan Wakaf Bharu-Tumpat berhampiran Kampung Berangan di sini pada Ahad.

Dalam kejadian tersebut, mangsa berusia 72 tahun itu meninggal dunia di lokasi selepas terjatuh dan tidak sedarkan diri.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada jam 7.30 pagi.

"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah motosikal yang ditunggang seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dari arah Wakaf Bharu menghala ke Tumpat.

Iklan

"Setiba di lokasi kejadian secara tiba-tiba mangsa melintas jalan di laluan utama dari arah kiri ke kanan," katanya dalam satu kenyataan.

Kemalangan melibatkan sebuah motosikal ditunggang seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dari arah Wakaf Bharu menghala ke Tumpat.

Menurut beliau, disebabkan jarak yang dekat, penunggang motosikal tidak sempat mengelak lalu terlanggar wanita berkenaan.

Iklan

Ujarnya, mangsa yang terjatuh dan tidak sedarkan diri disahkan meninggal oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat.

Mohd Khairi memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian 011-29463094 atau 09-7257222," katanya.