Ahmad Zahid ucap tahniah kepada Latif Romly, dua pemanah muda

Iklan
Jaguh olahraga para negara, Datuk Abdul Latif Romly selepas beraksi dalam acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) pada Sukan Paralimpik Paris 2024 di Stade de France pada Sabtu. Foto Bernama

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada jaguh olahraga para negara, Datuk Abdul Latif Romly yang meraih pingat perak acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual), di Sukan Paralimpik 2024 Paris.

"Meskipun dipintas di saat akhir, namun pingat perak dalam acara lompat jauh T20 dengan jarak 7.45 meter adalah satu pencapaian yang amat membanggakan buat Malaysia. Anda inspirasi kami semua!,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Iklan
Iklan

Pada acara itu, Latif Romly terpaksa berpuas hati dengan perak menerusi catatan 7.45 meter (m) pada percubaan ketiga, manakala lompatan terakhir Matvei Iakushev sejauh 7.51m menyaksikan Atlet Paralimpik Neutral itu, merampas emas darinya yang diraih sejak Rio 2016 diikuti Tokyo 2020.

Dalam hantaran berasingan, Ahmad Zahid turut mengucapkan tahniah kepada dua pemanah muda berkuda yang berjaya meraih pingat dalam Gauchoux Open Horseback Archery Competition: European Kids Championship 2024 di Gauchoux, Perancis, baru-baru ini.

Iklan

Pada kejohanan itu, Abdurrahman Ahmad Mu’az berjaya meraih pingat emas selepas menjuarai kategori bawah 14 tahun (U14), manakala adik perempuannya Heba Nusaybah Ahmad Mu’az muncul naib juara selepas meraih perak bagi kategori bawah 12 (U12).

"Abdurrahman dan adik perempuannya, Heba Nusaybah telah mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia dalam sukan memanah berkuda. Walaupun hanya mereka berdua yang mewakili Malaysia dalam pertandingan antarabangsa ini, semangat juang dan dedikasi mereka terbukti tiada tandingannya!

Iklan

"Saya doakan semoga adik Abdurrahman dan adik Heba Nusaybah terus menjadi inspirasi dan kebanggaan kita semua,” katanya.

Pertandingan berkenaan berlangsung pada 21 hingga 23 Ogos lepas. - Bernama