Karnival Semarak Kasih Merdeka PTPTN: pupuk nilai merdeka melalui perancangan kewangan

Iklan
Sim Tze Tzin (tiga dari kiri) diiringi Norliza (dua dari kiri) ketika melancarkan Karnival Semarak Kasih Merdeka PTPTN 2024.

GEORGETOWN - Erti kemerdekaan sebenar bukan hanya bebas daripada dijajah, sebaliknya merupakan perjuangan masyarakat untuk menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik, memiliki kekuatan jati diri serta semangat cintakan negara.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, kemerdekaan juga membawa mesej agar masyarakat memiliki perancangan kewangan yang baik untuk bebas daripada bebanan hutang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, selaku agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), PTPTN menyediakan instrumen simpanan terbaik dalam menggalakkan masyarakat menabung bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak, sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman pendidikan.

"Kita galakkan menabung seawal usia sehari supaya apabila berusia 18 tahun, anak-anak telah ‘merdeka’ daripada membuat pinjaman pendidikan dan menyambung pengajian menggunakan simpanan di Simpan SSPN,” katanya pada majlis pelancaran Karnival Semarak Kasih Merdeka PTPTN bersama Hawa Pulau Pinang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

Iklan

Hadir sama, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar.

Norliza ketika sesi pelepasan Larian Kasih Merdeka PTPTN 2024 di Bayan Baru, sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Norliza berkata, karnival ini turut menerapkan nilai kemerdekaan melalui perancangan kewangan agar masyarakat bebas hutang seterusnya membawa kepada kemerdekaan jiwa dan minda.

Iklan

"Antara kelebihan simpanan SSPN ialah pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun selain mendapat dividen yang kompetitif setanding agensi lain.

"Setakat Julai tahun ini, terdapat 6.5 juta akaun pendeposit Simpan SSPN dengan nilai RM18.7 bilion, Pulau Pinang antara penyumbang tertinggi selepas Terengganu,” ujarnya.

Karnival yang menawarkan pelbagai aktiviti untuk seisi keluarga ini dimeriahkan dengan pameran jualan usahawan dan rakan kolaborasi, Jualan Rahmah, klinik memanah, permainan e-sport, pertandingan mewarna dan pakaian beragam, slot Genius IQ PTPTN serta cabutan hadiah.

Turut dibuka kaunter promosi Simpan SSPN menawarkan pelbagai cenderamata eksklusif bagi pembukaan akaun atau penambahan deposit.

Acara kemuncak, Larian Kasih Merdeka PTPTN 2024 disertai pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), rakan strategik, pegawai PTPTN dan penduduk setempat dalam memupuk semangat patriotisme selain menggalakkan gaya hidup sihat.

Sim Tze Tzin (belakang, dua dari kiri) dan Norliza (belakang, tiga dari kiri) bergambar bersama pelajar dan waris penerima sumbangan peranti.

Larian sejauh lima kilometer ini turut melibatkan aktiviti memasang bendera di setiap rumah sekitar Bayan Baru, selaras inisiatif ‘1 Rumah 1 Jalur Gemilang’ diketengahkan Kementerian Komunikasi untuk sambutan Hari Kebangsaan.

Golongan kurang bernasib baik juga tidak dilupakan dengan pemberian sumbangan peranti kepada 10 pelajar bagi membantu mereka dalam pembelajaran.

Penganjuran kali kedua ini adalah selepas program di Dewan Koperasi Sungai Gelugor yang turut mendapat sambutan menggalakkan.

Ia merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN dalam meraikan bulan kemerdekaan selain membudayakan aktiviti menabung kalangan masyarakat.

Norliza memaklumkan, sambutan ‘bulan menabung’ akan diadakan di setiap negeri mengikut zon masing-masing pada Oktober depan.

"Kita sasarkan untuk kutipan akaun Simpan SSPN sehingga RM200 juta setiap tahun. Tahun lepas diadakan di Mydin Bukit Mertajam dan dalam tempoh lapan jam berjaya mengutip RM5 juta.

"Saya percaya kesedaran budaya menabung telah mula diserap sejak awal berbanding dahulu. Masyarakat mula memikirkan masa depan pendidikan anak-anak dan kita harus galakkan agar dapat ubah pemikiran daripada pinjaman kepada penabungan,” katanya.

REAKSI

MUHAMMAD ANIQ


"Rezeki kali pertama sertai larian anjuran PTPTN, saya menang hadiah cabutan hadiah. Program sebegini sangat bagus, wajar diadakan berterusan supaya masyarakat lebih sihat dengan lakukan aktiviti positif.”-Peserta larian, Muhammad Aniq al Hafiz Muhammad Taufik, 15.

MAISARAH

"Karnival seperti ini bantu usahawan tempatan ketengahkan produk secara terus. Selain jualan produk, diadakan sesi padanan bisnes untuk usahawan berminat. Kita bantu usahawan cari rangkaian bisnes untuk majukan produk.” - Penyelaras Usahawan, Maisarah Jali, 41.

THE SEOW LING

"Semua aktiviti sesuai untuk seisi keluarga, bawa anak sertai pertandingan mewarna isi masa hujung minggu. Program sangat bermanfaat, selain aktiviti riadah dan jualan, kaunter PTPTN dibuka untuk hebahan maklumat.”- Pengunjung, The Seow Ling, 39.

M. KHIRITIGAA

"Persatuan Memanah Pulau Pinang anjur klinik memanah kepada pengunjung dan mendapat sambutan. Karnival meriah dengan pelbagai aktiviti dan informasi bermanfaat untuk segenap masyarakat.” - Peserta karnival, Khiritigaa a/p Mahadevan, 15.