Pemutihan penjaja haram menerusi tapak niaga People's Park

Iklan
Pei Ling (tengah) bergambar bersama urus setia Program Mesra Rakyat dan Hari Bertemu Pelanggan di Dewan Komuniti Damansara Damai pada Ahad.

SUNGAI BULOH - Masalah penjaja haram di jalan utama PJU10/1 Damansara Damai dijangka selesai selepas Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyediakan tapak niaga, People's Park di Hentian Damai di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Pua Pei Ling berkata, kemudahan tersebut mula beroperasi sekitar Ogos lalu dan memberi manfaat kepada 40 penjaja.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kaedah pemutihan melalui permit sementara bermasa itu merupakan langkah tepat dalam mendepani isu penjaja haram tepi jalan.

"Mereka ditempatkan di lokasi selamat dan selesa yang disertakan kemudahan serba lengkap termasuk tandas serta surau selain pengunjung turut diberikan kemudahan parkir teratur.

Iklan

"Sebelum ini penjaja terbabit beroperasi di tepi jalan dan berbahaya, banyak kali MBPJ hantar penguat kuasa untuk ambil tindakan," katanya ketika ditemui pada Program Mesra Rakyat dan Hari Bertemu Pelanggan di Dewan Komuniti Damansara Damai dekat sini pada Ahad.

Hadir sama, Pengarah Pembangunan Masyarakat MBPJ, Mohamad Rosnani Hamid serta Pegawai Penerangan Daerah Petaling, Ruddyansjah Mahtar Hams.

Iklan
People's Park lokasi penempatan sementara penjaja tepi jalan sekitar Damansara Damai.

Dalam pada itu, Pei Ling berkata, selain penguatkuasaan tegas, permasalahan itu perlu disertakan dengan kaedah penyelesaian melalui penempatan penjaja di lokasi bersesuaian.

"Selepas ini, penjaja tidak boleh salahkan MBPJ mengambil tindakan terhadap penaja haram di lokasi berkenaan memandangkan tapak alternatif telah disediakan," katanya.

Ujarnya, People's Park kini beroperasi setiap hari dibahagikan kepada tiga syif bermula jam 6 pagi hingga 12 malam dan dalam proses mengubahnya kepada dua syif.

Tambah beliau, tapak tersebut akan ditambah baik mengikut keperluan dan kesesuaian semasa.

Pei Ling (tiga dari kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang dalam satu acara dipertandingkan pada Program Mesra Rakyat dan Hari Bertemu Pelanggan di Dewan Komuniti Damansara Damai.

Beliau turut menyokong jika konsep sama diperluaskan ke kawasan lain dalam usaha penyusunan penjaja dan pemutihan isu penjaja haram.

Sementara itu, Pei Ling berkata, Program Mesra Rakyat dan Hari Bertemu Pelanggan yang diadakan bertujuan memberikan pendedahan kepada penduduk setempat berkaitan inisiatif serta perkhidmatan ditawarkan MBPJ.

"Program ini secara tidak langsung dapat menjalinkan kerjasama dan hubungan dua hala antara pemimpin masyarakat dan penduduk setempat.

"Dari sudut kerajaan selain aspek penguatkuasaan, kita perlu cari penyelesaian tempatkan mereka di lokasi sesuai," ujarnya.